Malaysia Dijangka Hadapi Gelombang Baharu COVID-19 Disember Ini

Pegawai perubatan memberi amaran gelombang baharu COVID-19 dijangka melanda negara pada Disember depan.

Kenyataan ini dibuat oleh Dr Azfar Kamal yang bertugas di Hospital Sungai Buloh menerusi ciapannya di Twitter pada Selasa dan kini ciapan tersebut telahpun diulang kicau lebih 22,000 kali sejak ia dimuat naik.

Jelasnya, lonjakan kes akan berlaku dalam tempoh dua minggu akan datang sementara pusat COVID-19 sedang melakukan persediaan bagi menghadapi gelombang baharu.

“Wad dan unit rawatan rapi (ICU) hospital kembali dipenuhi oleh pesakit Covid-19 kategori empat dan lima.

“Tolong amalkan prosedur operasi standard (SOP), basuh tangan dan jaga jarak selain memakai pelitup muka sepanjang masa. Bagi mereka yang bakal ke luar negara, dapatkan dos penggalak segera. Jaga diri,” katanya.

Kes baharu positif Covid-19 menunjukkan peningkatan sejak minggu lalu susulan orang ramai melakukan pergerakan rentas negeri sempena cuti Deepavali selain hampir semua sektor dibenar kembali beroperasi.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan lapan kluster baharu dilaporkan pada Rabu menjadikan jumlah kluster aktif adalah sebanyak 247 kluster.

Salma Syahbuddin