“Semua Ada Pendapat Sendiri…” – Cara ‘Hosting’ Lagu Cinta Kita 3 Dikritik, Ain Edruce Tak Kisah

Pelakon dan pengacara, Ain Edruce tidak mengambil kisah mengenai komen netizen yang mengkritiknya sebagai pengacara program Lagu Cinta Kita 3 (LCK3).

Menurut Ain, dia tidak mengambil peduli kritikan sebegitu kerana dia akan berbincang dengan pengarah dan penerbit produksi LCK3 terlebih dahulu.

“Saya tak ambil kisah sangat. Kalau saya dapat komen macam tu, saya baca juga tapi saya akan tanya produksi dulu.

“Saya akan minta pendapat mereka bila dapat komen macam tu dan apa yang kita boleh perbaiki.

“Jadi saya lebih percaya dengan apa yang produksi itu cakap,” katanya.

Ketika ditanya mengenai netizen membandingkan cara pengacaraannya dengan hos terdahulu, Ain percaya setiap orang mempunyai pendapat masing-masing.

“Semua orang ada pendapat sendiri. Tak semua orang akan suka dengan apa yang kita buat. Tapi saya lebih percaya dengan apa yang produksi dan keluarga terdekat cakap.

“Saya akan ambil juga apa yang orang luar cakap cuma saya tak bolehlah nak rasa sedih bila orang cakap macam tu, sebab dari komen-komen tu mungkin ada lebih ramai di luar sana yang suka.

“Kalau ada yang nak samakan dengan pengacara terdahulu, memang tak sama. Semua orang ada cara tersendiri dah mungkin cara saya berbeza sedikit,” jelasnya.

Tambah Ain, dia akan kekal dengan cara yang tersendiri selepas bertanya dengan pihak produksi tentang apa yang perlu diubah dan diperbaiki.

“Saya tak pernah ubah 100 peratus sebab memang cara saya begitu. Ada sebab juga kenapa TV3 memilih saya untuk menjadi pengacara LCK3.

“Mungkin saya akan ubah sedikit mengikut apa yang orang nak tapi saya akan masih kekalkan identiti sendiri,” ujarnya.

Ain yang bergandingan bersama Kamal Adli menjadi hos tetap untuk LCK3 berharap semua orang dapat menyokong bakat-bakat dalam LCK3 kerana peserta kali ini lebih baik dari sebelumnya.

Jangan lupa untuk teruskan sokongan anda dalam Lagu Cinta Kita 3 setiap hari Ahad, jam 9 malam hanya di TV3 dan ia juga boleh distrim live HD di www.tonton.com.my.

Marcella