Categories: Acara

Berlangsung Sukses, Pemeriksaan & Rawatan Kesihatan Lutut Serta Sakit Sendi Percuma Beri Manfaat Kepada Golongan Asnaf, B40 Serta Penduduk Berhampiran

Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) dengan kerjasama Integrated Pain International Network (IPIN) telah menjalankan program kemasyarakatan yang menawarkan rawatan sakit sendi dan lutut percuma kepada lebih 100 pesakit dari golongan asnaf dan kumpulan B40 serta penduduk berhampiran, baru-baru ini.

Majlis Penutup Pain Free Camp 2023 bertempat di Masjid Taman Cheras Jaya ini bukan sekadar memberi pemeriksaan percuma secara ‘ultrasound’, sebaliknya turut memberi rawatan percuma kepada pesakit yang hadir.

Menurut satu kajian, dianggarkan 9.3 peratus rakyat Malaysia dewasa menghidapi sakit lutut. Antara punca sakit lutut adalah disebabkan menopause, berat badan berlebihan, sendi semakin menipis, faktor usia, kecederaan bersukan, kemalangan dan sebagainya.

“Kami mempunyai 13 buah cawangan Poliklinik di sekitar Lembah Klang, secara purata 2,000 ke 3,000 orang yang mendapat rawatan dalam tempoh sebulan.

“Data kami menunjukan 50 sehingga 60 peratus pesakit mengalami pengurangan dan selebihnya akan dirujuk ke doktor pakar disebabkan tahap yang agak serius,” kata Dr Mohd Firdaus Musa selaku Pengerusi IPIN merangkap Pegawai Eksekutif Perubatan Poliklinik Amal Medik.

Kelangsungan dalam menunaikan tanggungjawab sosial, pihak IPIN dengan kerjasama Poliklinik Amal Medik juga turut membantu golongan kurang berkemampuan dari sudut khidmat nasihat bagi mendapatkan bantuan perubatan melalui zakat dan Baitulmal.

Program membabitkan 14 orang doktor atau pengamal perubatan yang telah menjalankan perkhidmatan selama setahun dan ke atas ini merupakan ko-hort pertama mendapat pentauliahan dari Kursus Professional Certificate of Pain Management dari Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) dengan kerjasama Integrated Pain International Network (IPIN) melalui Kynohaigo Education bermula 2023.

Setelah menjalani pengajian selama setahun secara di atas talian dan kelas secara fizikal, 14 orang pengamal perubatan dari klinik dan hospital seluruh Malaysia ini turut terbabit dalam perlaksanaan Program Free Pain Camp sebagai pengalaman dan pemahaman tentang ‘Pengurusan Kesakitan Musculoskeletal’, modul terakhir pembelajaran.

Majlis yang dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Naib Canselor UCMI, Prof. Dr. Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman dan turut hadir bersama adalah Pengerusi IPIN, Dr. Mohd Firdaus, Pakar Perubatan Jabatan Anaestesiologi dan Rawatan Rapi Hospital Taiping, Dr. Awisul Islah dan Nazir Masjid Taman Cheras Jaya, Tuan Haji Mohd Nasri Abd Hamid.

Menariknya, keberkesanan rawatan turut menjadi perhatian selebriti tempatan seperti Datuk Fauziah Nawi, Maimunah Ahmad (Mak Jah), Delimawati, Raja Azmi, Ryan Fahmi Bakery dan lain-lain lagi.

Padin