Categories: Acara

Tak Hanya Aktif Menyanyi… Iman Troye Turun Padang, Bantu Pelajar Sekolah

Selain bergiat aktif sebagai seorang penyanyi, Iman Troye turut sering menjalankan aktiviti yang memberi manfaat kepada orang ramai, terutamanya untuk mereka yang bergelar pelajar.

Menggunakan pengaruhnya sebagai seorang aktiviti untuk menyebarkan kebaikan, pelantun lagu Nang itu sering memberi semangat kepada pelajar untuk berjaya dalam pelajaran.

Baru-baru ini, Iman hadir memberi semangat dan motivasi kepada lebih 1,000 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Ia merupakan inisiatif Iman sebagai duta dan ikon PTTI untuk memberi galakan kepada pelajar menerusi program Seminar Roadtour Skor A+ SPM yang diadakan di Hotel Grand Renai, Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.

Iman atau nama sebenarnya Siti Nur Alyssa Sahabudin, 21, berkata, kehadirannya bukan sekadar duta dan ikon, tapi menyifatkan ia adalah tanggungjawab yang perlu dijalankan dengan sebaiknya.

“Pada program ini sebanyak 1,020 pelajar terdiri daripada pelajar tingkatan 4 dan 5 terbabit dalam program Seminar Roadtour Skor A+ SPM Kelantan. Bagi saya, penyertaan itu cukup memberangsangkan selain melihat usaha mereka untuk lulus cemerlang pada SPM akan datang.

“Saya berharap kehadiran kami memberikan semangat yang jitu kepada mereka. Saya mahu apa saja usaha yang dilakukan bakal membuahkan hasil terbaik kepada mereka.

“Apa yang pasti, kami komited untuk terus membantu pelajar yang bakal menduduki SPM ini agar mereka berada di landasan betul,” katanya.

Pada Seminar Roadtour Skor A+ SPM Kelantan, mata pelajaran yang diajar adalah Matematik, Bahasa Melayu, Sains, Kimia dan Matematik Tambahan.

Persediaan yang dibuat adalah selaras dengan pengumuman dibuat Kementerian Pendidikan (KPM) mengenai SPM yang diawalkan bermula 5 Disember depan (peperiksaan amali SPM).

Dalam masa sama, Iman akan meneruskan siri jelajah sempena cuti sekolah di IDCC Shah Alam pada 2 September ini.

“Kami dalam misi nak membantu 100,000 pelajar SPM seluruh Malaysia untuk tingkatkan prestasi akademik dari Gagal ke A menerusi kelas tuisyen dalam talian.

“Kami turut mengadakan siri jelajah ke sekolah di seluruh negara secara percuma dalam usaha membantu semua pihak bagi memastikan standard pencapaian murid tercapai,” katanya.

Padin