Categories: Drama

Tonton Apa Hari Ni: ‘Cinta Bersemi Di Wadi Safiyyah’

Jalan kehidupan bukanlah ringkas. Ia disulami liku-liku yang kadangkala tidak dijangka. Siri terbaharu Akasia yang berjudul ‘Cinta Bersemi Di Wadi Safiyyah’ menceritakan kesulitan yang dialami dalam mengharungi cabaran dunia.

Watak utama dalam kisah ini adalah Dania (lakonan Rita Nadira). Gadis muda ini telah terlibat dengan suatu hubungan yang terlarang bersama jejaka bernama Qabil (lakonan Aidit Noh).

Hubungan mereka telah membawa kepada kandungan anak luar nikah. Situasi ini telah menyebabkan Qabil melarikan diri ke luar negara. Bapa Dania, Datuk Safuan (lakonan Zamarul Hisham), telah mendesak Dania untuk menggugurkan anak dalam kandungannya itu. Hal ini tidak dipersetujui ibu Dania, Datin Kay (lakonan Mas Anizan).

Datin Kay telah bertindak untuk menyembunyikan Dania di sebuah pusat perlindungan gadis yang dikenali sebagai Wadi Safiyyah.

Wadi Safiyyah itu menjadi tempat pertemuan Dania dengan Iqbal (lakonan Aniq Suhair). Iqbal adalah salah seorang tenaga pengajar di situ. Dia telah mula jatuh hati terhadap Dania. Perkara ini menimbulkan rasa tidak puas hati terutamanya bagi Umairah yang sudah terdahulunya menaruh perasaan terhadap Iqbal.

Keadaan menjadi lebih merunsingkan dan tegang apabila Qabil membuat kemunculan semula. Apakah yang akan terjadi terhadap dinamik hubungan mereka?

Cerita Apa? ‘Cinta Bersemi Di Wadi Safiyyah’
Hari Apa? Setiap Isnin – Jumaat
Jam Berapa? 7 malam
Di Mana? TV3

Afiqah Azizan