familuv By: Fadzlena Jafar April 11, 2020 @ 10:41pm

KKM bimbang penularan baharu jika benarkan pelajar IPT pulang

Ibu bapa dan pelajar insitusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini diminta untuk bersabar bagi membolehkan Kementerian Kesihatan (KKM) memperhalusi cadangan untuk membenarkan pelajar IPT pulang ke rumah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata meskipun memahami luahan hati ibu bapa dan pelajar, Kerajaan perlu lebih fokus pada usaha untuk membendung penularan wabak COVID-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media Mesyuarat Khas Menteri Menteri Berkenaan Pelaksanaan PKP di Putrajaya. (Gambar BERNAMA)

“Kita menerima cadangan daripada KPT tadi, namun kita perlu meneliti dari pelbagai aspek kerana ia akan mengakibatkan pergerakan yang lebih besar membabitkan hampir 80,000 pelajar IPT awam dan swasta di seluruh negara.

“Jumlah ini tidak termasuk pelajar yang tinggal di luar kampus dan kita juga mendapati ramai yang ingin pulang ke Sabah dan Sarawak yang tentunya akan dikuarantin secara wajib,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya dekat sini, hari ini.

Semalam, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad dalam perkongsian menerusi laman sosial Facebooknya, memaklumkan berikutan perlanjutan PKP, KPT akan mengemukakan cadangan kepada Kerajaan untuk membolehkan pelajar IPT di seluruh negara pulang ke rumah masing-masing.

Maklum balas yang diterima menerusi perkongsian itu mendapati kebanyakan pelajar melahirkan hasrat untuk pulang ke pangkuan keluarga, malah dipersetujui warga maya khususnya ibu bapa yang bimbang keadaan anak mereka di kampus.

Ramai pelajar IPT ingin pulang ke rumah masing-masing berikutan tempoh PKP yang panjang. (Gambar hiasan/NSTP)

Ismail Sabri berkata, pergerakan besar pelajar itu kemungkinan boleh menggagalkan usaha KKM selama ini yang sudah menunjukkan keberkesanan apabila jangkitan baharu COVID-19 semakin menurun.

Sehubungan itu, katanya, KKM akan memperhalusi cadangan berkenaan dan orang ramai diminta untuk bersabar supaya PKP boleh ditamatkan mengikut perancangan KKM.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pada sidang media harian perkembangan COVID-19, di Putrajaya, hari ini berkata sekiranya cadangan itu dilaksanakan mungkin akan menyebabkan pergerakan besar-besaran ke seluruh negara dan dibimbangi boleh mencetuskan penularan jangkitan COVID-19 baharu.

“Kita meminta supaya ibu bapa dan pelajar IPT bersabar, mungkin sehingga fasa tiga PKP berakhir bagi mengelakkan penularan baharu akibat pergerakan besar pelajar IPT.

“Kita mendapati ketika ini jumlah jangkitan baharu COVID-19 tidak meningkat dengan mendadak seperti yang dijangkakan, justeru sebarang pergerakan perlu dielakkan supaya tidak menyebabkan penularan baharu jangkitan COVID-19,” katanya.

Gambar utama: gambar hiasan

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Featured Fri, 11 Aug 2023
Eat Travel Thu, 14 May 2020
Featured Thu, 2 Mar 2023
Featured Fri, 1 Oct 2021

Boleh Teman Isteri Bersalin Bermula 4 Oktober, Ini Syarat Yang Ditetapkan Oleh KKM!

Boleh semak syaratnya ye bakal-bakal ibu/bapa sekalian

Featured Tue, 9 Jul 2019

10 petanda hubungan anda dengan pasangan semakin renggang

Pastikan anda tidak berada di dalam situasi ini.

Featured Thu, 8 Dec 2022
Featured Wed, 27 Sep 2023

Setahun Menyepi, Ara Johari Buat ‘Comeback’ Dengan SUDAH

Wah, sekali keluar dengan single terus letup ek Ara 🙌