Categories: AcaraFeaturedOh Lawa

Minggu Fesyen Norish Kareem, realisasikan impian pereka fesyen tempatan ke pentas antarabangsa

Bersempena dengan Minggu Fesyen London yang bakal berlangsung pada September depan, pereka fesyen tempatan Norish Kareem mengambil langkah berani untuk menganjurkan pertunjukan fesyen menerusi labelnya sendiri, Minggu Fesyen Norish Kareem (NKFW).

Norish Kareem yang juga pengasas Norish Kareem Couture, Norish Kareem Cosmetics dan Norish Kareem London optimis menganjurkan NKFW bagi mengetengahkan pereka fesyen tempatan di pentas dunia serta memberi mereka pendedahan kepada industri fesyen antarabangsa.

 

“Bukan mudah bagi satu jenama untuk menembusi pasaran antarabangsa contohnya di Kota London kerana saya pernah merasainya. Oleh itu, salah satu sumbangan saya kepada dunia fesyen negara adalah dengan memberi peluang kepada pereka fesyen yang ingin menempatkan koleksi mereka di tengah-tengah kota London.

Saya memberi keutamaan kepada pereka fesyen Malaysia yang ingin pergi ke peringkat global dan yakin terhadap jenama mereka. Ini adalah pertunjukan fesyen yang julung kali dianjurkan oleh pihak Norish Kareem dan kami berharap ia akan berjalan lancar dengan sokongan semua pihak,” tuturnya ketika ditemui pada sidang media baru-baru ini.

Lebih istimewa, NKFW akan berkolaborasi dengan rakan strategik, Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi minggu fesyen yang turut dihadiri oleh penggiat fesyen dari seluruh negara.

NKFW akan disertai oleh beberapa pereka fesyen Malaysia iaitu MW by Mimi Wahidah, Fana Couture, Lila Majnun, Ummiriaz International, Liza Zulkarnain dan beberapa pereka fesyen lain dari dalam dan luar negara.

Menarikya, Norish Kareem juga menyediakan ruang  di butik Norish Kareem London untuk pereka fesyen dari Malaysia dan seluruh dunia mempamerkan jenama mereka di Kota London sekali gus menembusi pasaran UK dan Eropah. Menurut Norish, peluang yang diwujudkan itu tidak terhad hanya pada pakaian, malah kosmetik dan juga aksesori.

Katanya lagi, NKFW juga dijangka akan diadakan di Doha, Qatar pada November ini menerusi hasil kolaborasi dengan agensi kerajaan di sana. Norish Kareem turut meletakkan impian menjadikan label NKFW sebagai salah satu penganjur fesyen antarabangsa yang mengadakan Minggu Fesyen di pusat fesyen dunia seperti London, Doha, New York, Paris dan Dubai.

Sebelum mengakhiri perbualan, Norish turut mengalu-alukan pereka fesyen tempatan khususnya yang berminat menyertai NKFW dan ingin menempatkan koleksi mereka di London agar menghubunginya menerusi emel sales@norishkareem.com.  

Perkembangan lanjut mengenai NKFW boleh diikuti di laman web www.norishkareem.com serta laman Instagram @norishkareemfashionweek serta @norishkareemlondon_official.

 

Ad Ops