Categories: FeaturedGaya Hidup

PUNB perkenal pelbagai pakej pembiayaan bantu usahawan wanita

Kekangan kerja di pejabat yang memerlukan masa yang lama di luar rumah menyebabkan ramai wanita yang baru memulakan keluarga kecil mengambil keputusan untuk meninggalkan alam pekerjaan.

Ada wanita yang bernasib baik tidak perlu bekerja kerana keadaan ekonomi suami atau keluarga agak kukuh, namun jika sebaliknya wanita perlu memikirkan apa yang boleh dilakukan untuk membantu pendapatan isi rumah.

Kebanyakannya memilih untuk berniaga secara kecil-kecilan seperti menjahit, memasak mahupun terbabit dalam perniagaan dalam talian.

Datuk hazimah ketika berucap pada majlis pelancaran Butik Gaya Hidup SK KLCC, baru-baru ini. Gambar SK

Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Datuk Hazimah Zainuddin, berkata PUNB bakal memperkenalkan pelbagai pakej untuk menggalakkan lebih ramai wanita untuk menceburi bidang keusahawanan.

“Kebanyakan usahawan wanita terbabit dalam perniagaan yang sinonim dengan wanita seperti pakaian dan makanan, justeru PUNB akan lebih fokus memberi galakan kepada wanita untuk menceburi bidang perniagaan yang didominasi lelaki.

“Bagi melaksanakan rancangan ini, PUNB akan memperkenalkan pakej pembiayaan khusus bagi usahawan wanita,” katanya pada siding media selepas merasmikan butik gaya hidup Siti Khadijah (SK) di KLCC, baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Pengasas SK, Padzillah Enda Sulaiman; Ketua Pegawai Eksekutif Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd (Siti Khadijah Apparel), Ir Aminuddin Mohd Nasir; Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin dan Pengarah Eksekutif Jualan dan Pemasaran Siti Khadijah Apparel, Mohammad Munzir Aminuddin.

Datuk Hazimah (dua dari kiri), Izwan (kiri), Padzillah (dua dari kanan) dan Ir Aminuddin bergambar dengan peragawati yang menggayakan Koleksi #nortalgiaraya SK. Gambar SK

Sejak ditubuhkan pada 1991, PUNB berjaya membantu lebih 11,000 usahawan dengan jumlah keseluruhan kelulusan pembiayaan membabitkan hampir RM3.2 bilion.

Daripada jumlah itu, sebanyak 3,672 adalah wanita dengan 56.3 peratus daripadanya menceburi bidang pakaian, tekstil dan aksesori, manakala 40.8 peratus lagi terbabit dalam perniagaan makanan dan minuman.

Hazimah berkata, PUNB juga mengambil langkah proaktif bagi membantu usahawan yang terjejas akibat wabak COVID-19 khususnya yang mendapatkan bekalan dari China dengan menganjurkan misi perdagangan baharu.

“Wabak COVID- 19 menjejaskan ramai usahawan terutama yang mendapatkan barang atau bahan mentah dari China, justeru PUNB akan melaksanakan Misi Perdagangan Sumber Alternatif dengan membawa usahawan ke beberapa negara lain seperti India, Bangladesh dan Vietnam.

“Selain itu, PUNB juga sedang mempertimbangkan pemberian moratium kepada perniagaan yang terjejas. Sehingga kini kami menerima tidak lebih 20 permohonan daripada usahawan yang terjejas akibat COVID-19,” katanya.

Fadzlena Jafar