Categories: FeaturedSihat

Senaman Tabata Buat Lemak Anda Menangis

Lemak pada badan adalah antara perkara yang digeruni wanita. Ia bukan sahaja menjejaskan penampilan, malah membuatkan seseorang itu tidak berkeyakinan. Pelbagai cara dilakukan untuk menghilangkan lemak termasuklah mengamalkan pemakanan sihat dan melakukan senaman.

Bagi anda yang ingin membakar lemak dengan cepat, apa kata anda cuba senaman Tabata. Ia adalah latihan interval berintensiti tinggi atau lebih dikenali sebagai HIIT (High Intensity Interval Training) yang sangat cepat dan efektif untuk meningkatkan kadar metabolisme badan serta membakar lemak. Tabata juga mampu membantu anda untuk mencapai sasaran kecergasan yang diingini.

Foto: The New York Times

Tabata adalah kaedah senaman yang ditemui oleh Dr Izumi Tabata bersama sepasukan penyelidik di bawah seliaannya di Institut Kesihatan dan Sukan Negara di Tokyo pada 1996.

Kaedah senaman Tabata dilakukan sebanyak empat kali seminggu berserta satu kali senaman kardio. Jika dilakukan secara konsisten, ia mampu meningkatkan kapasiti aerobik dan anaerobik sama seperti anda berjoging selama 40 minit selama lima kali seminggu.

Rutin atau kaedah senaman ini adalah dengan memulakan senaman memanaskan badan diikuti senaman yang ultra intensif selama 20 saat. Kemudian rehat selama 10 saat sebelum mengulangi langkah yang sama selama empat minit.

Anda boleh melakukan apa sahaja senaman yang anda mahu seperti squat, tekan tubi, burpees atau sebarang senaman lain yang memberi kebaikan kepada kumpulan otot anda. Pergerakan yang dilakukan memang ringkas, namun amat berkesan.

Bagi yang mahu berjinak dengan senaman Tabata, anda boleh mulakannya dengan perlahan dan mengikut tahap kemampuan. Anda boleh lakukan senaman ini di mana sahaja seperti di bilik tidur, ruang tamu atau di mana sahaja kerana ia tidak perlu menggunakan ruang yang luas.

Anda boleh melihat video di bawah sebagai rujukan. Selamat bersenam!

Sumber: Nurwin Fitness

Video: Youtube Coach Anuar dan The Fitologist

Ad Ops