Categories: Filem

Filem Ambil Masa Lama Untuk Ditayangkan, Pengarah Yakin Keunikan Cerana Biduk Bu Merah

Biarpun mengambil masa lama untuk ditayangkan, pengarah filem Cerana Biduk Bu Merah, Haizul Anafer Ali yakin dengan karya terbabit untuk menarik kaki wayang menonton di pawagam.

Menjalani penggambaran sekitar 2018 di Kuala Kangsar, filem terbitan Goldchill Pictures Sdn Bhd yang menemui penonton sejak semalam itu mempunyai keunikan tersendiri.

“Penggambaran dijalankan sebelum pandemik. Sepatutnya ia sudah lama ditayangkan, tetapi akibat wabak Covid-19 menyerang dunia, naskhah ini mengambil masa sedikit untuk menemui penonton di pawagam.

“Kemudian, kami mengambil masa untuk menjalankan suntingan semula sebagai persiapan untuk ditayangkan kepada umum. Genre seram mempunyai kelompok peminat sendiri dan karya ini mempunyai keunikan jalan cerita yang menarik serta pelakon gred A yang membintangi Cerana Biduk Bu Merah,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai intipati naskhah ini, naratif yang dibawakan dalam filem Cerana Biduk Bu Merah mempunyai mesej positif untuk tatapan orang ramai.

“Pada masa kini, segelintir orang terlalu menguatamakan hal duniawi, rakus ingin mencapai kejayaan, ghairah dengan keseronokan dan keindahan dunia yang sementara sehingga terlupa beban syurga dan neraka yang menanti.

“Saya mengajak orang ramai, terutamanya kaki wayang menonton filem Cerana Biduk Bu Merah kerana selain mempertaruhkan hiburan, ia menyelitkan natijah perbuatan syirik, saka, semangat dan spiritual yang masih berleluasa dalam masyarakat kita.

“Saya harap filem ini dapat memberi impak kesedaran dari segi rohani dan spritual yang besar,” katanya.

Dibarisi oleh pelakon berkaliber seperti Fasha Sandha, Pekin Ibrahim, Wan Hanafi Su, Badrul Muhayat, Pyan Kepoh dan Sara Daewoo, jangan lupa saksikan Cerana Biduk Bu Merah di pawagam.

Padin