Categories: Filem

SANGKAR Gegar Pawagam Ogos 2019

Buat julung kalinya syarikat media Malaysia, Media Prima dan Astro melalui bahagian penerbit filem masing-masing, Primeworks Studios dan Astro Shaw bersama produksi Infinitus Gold dan mm2 Entertainment bergabung usaha dalam menerbitkan sebuah filem MMA (Mixed Martial Arts) melayu pertama Malaysia, SANGKAR.

Filem yang bakal menggegarkan pawagam pada Ogos 2019 ini merupakan kolaborasi mega di antara empat penerbit dan dijangka merangsang lagi industri filem tempatan dengan pergabungan visi dan bakat kreatif keempat-empat rakan kongsi ini.

Pengarah yang berasal dari Mumbai dan menetap di Malaysia, Kabir Bhatia menjadi teraju utama memikul tanggungjawab yang berat dalam memastikan keupayaan untuk menzahirkan lakon layar yang terbaik, tambahan pula ini adalah kali pertama beliau memberi sentuhan pada filem bergenre aksi drama.

Sebelum ini, Kabir juga pernah bekerjasama dengan Astro Shaw dan Primeworks Studios dalam menjayakan projek projek seperti filem ‘Bisik Pada Langit’ serta filem ‘Pulang’.

Sangkar membariskan pelakon terkenal Zul Ariffin, Remy Ishak, Mira Filzah, Fadlan Hazim, Ray, Aman Graseka, Carliff Carleel, Andy Teh dan atlet peninju profesional MMA sebenar iaitu James “Sledgehammer” Mcsweeney.

Sinopsis Sangkar menceritakan kisah watak Adam dan Johan yang berlawan di luar gelanggang sehingga menyebabkan Johan cedera parah.

Untuk menebus kesalahannya, Adam kembali dalam pertarungan jalanan demi dapatkan habuan untuk membantu Johan sekeluarga. Johan pula bertarung dengan hidupnya sendiri demi keluarganya. Adam membuat keputusan untuk bertarung dengan atlet MMA luar negara bagi mendapat habuan lebih besar.

Mampukah Adam dan Johan bergelut keadaan serta menebus dosa lalu dalam berdepan cabaran masing-masing?

SGMS Faida