Anjur Pertandingan Azan, Rosyam Nor Tawar Hadiah Lumayan Bernilai RM110,000

Pelakon versatile Datuk Rosyam Nor menawarkan hadiah lumayan bernilai sehingga RM110,000 kepada golongan lelaki terdiri dari kanak-kanak, remaja dan dewasa untuk menyertai pertandingan azan.

Memetik laporan Kosmo, pertandingan itu akan berlangsung secara atas talian menerusi program Muazin terbitan syarikatnya, Suhan Channel.

Pemilik nama Mohd Noor Shamsuddin atau Rosyam Nor, 56, berkata, program ini adalah inisiatif bagi meraikan keindahan, kesenian dan kepentingan azan selaku panggilan bagi mengerjakan solat.

“Saya mempelawa semua umat Islam yang gemar menggunakan sosial media untuk menyahut cabaran ini, sekali gus menonjolkan bakat kecemerlangan azan mereka.

“Ini juga peluang kepada masyarakat melihat peserta menggunakan kaedah berbeza dalam mengalunkan suara mereka menyampaikan azan.

“Saluran YouTube Suhan Channel berbesar hati berpeluang menyemarakkan keindahan laungan azan menerusi pertandingan yang dibuka kepada ramai secara online,”katanya.

 

Tambahnya, peserta yang terlibat dan berani menyahut cabaran ini perlu memuat naik video laungan azan mereka menerusi akaun TikTok, Facebook ataupun Instagram mereka.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu dewasa, remaja dan kanak-kanak, manakala prestasi dinilai berdasarkan kualiti suara, ketepatan nada, ekspresi, emosi dan keseluruhan persembahan.

Penyertaan Muazin ini bermula dari 7 hingga 26 Julai dengan menawarkan hadiah berjumlah RM110,000 berupa wang tunai, trofi, pakej mengerjakan umrah, hamper dan sejadah.

 

 

Sumber: Kosmo

Salma Syahbuddin