Pasang Niat Nak Beli Rumah & Tak Mahu Membazir, Anna Jobling Sanggup Lantik Akauntan Peribadi?

Pelakon jelita Anna Jobling melantik seorang akauntan peribadi demi memiliki jaminan kewangan kukuh untuk jangka masa panjang selain tidak mahu membazir.

Memetik laporan Harian Metro, Anna mahu menguruskan kewangannya dengan lebih sistematik dan menasihatinya tentang perbelanjaan.

“Mungkin usia 23 tahun masih terlalu muda. Namun, saya enggan membazir masa. Saya nak kerja berterusan.

“Saya pentingkan simpanan dan nak perbanyakkan tabungan. Saya jaga duit dan tak sewenangnya boros berbelanja. Penting untuk adanya penasihat kewangan,” jelasnya.

Menurut Anna lagi, dia menyimpan hasrat untuk membeli rumah selepas membeli kereta pada April lalu.

“Saya beli juga satu dua beg mewah tapi bukan terlalu gila barangan begitu. Sekarang saya tengah menabung untuk membeli rumah. Itu keutamaan saya sekarang.

“Satu-persatulah. Tapi, saya pun sudah ada pergi tengok-tengoklah (rumah). Saya nak fokus satu-satu, kalau nak, saya akan usaha dapatkannya,” ujarnya.

Pada masa sama, dia juga mempunyai perancangan untuk memulakan perniagaan bagi mengukuhkan lagi kewangannya.

“Saya terfikir untuk mulakan perniagaan dalam tempoh masa terdekat. Tapi saya nak fokus lakonan dulu sebab sudah tiga bulan tak masuk set (penggambaran),” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Belum Memiliki Lesen Memandu, Anna Jobling Beli Kereta Pertama Pada Usia 23 Tahun!

Maya Basir