“Beberapa Individu Menyamar Sebagai…” – Perbalahan Antara Kelab Artis Beri Kesan Negatif, Ainations Buat Laporan Polis!

Kelab Peminat Aina Abdul yang dikenali sebagai Ainations telah membuat laporan polis susulan beberapa individu yang menyamar menjadi peminat dan membuat perkongsian berbentuk provokasi sehingga mewujudkan perbalahan terhadap kelab artis lain.

Menerusi kenyataan rasmi dari Ainations di TikTok @jackouan1307, pihaknya mengambil berat tentang isu yang wujud sejak beberapa bulan lalu.

“Posting (perkongsian) ini dibuat untuk mengulas kenyataan viral (tular), rentetan dari paparan beberapa artikel di kebanyakan portal media dengan tajuk “Peminat Aina Abdul merebut title, ‘Penyanyi No 1 Malaysia’ dan juga “Zaman Tokti dah lepas, sekarang bagi dekat Aina” yang telah memberi impak negatif melalui komen-komen yang berbentuk membuli dan penghinaan terhadap peribadi dan karier Aina Abdul serta dikaitkan dengan Ainations, Aina Abdul Official Fan Club.

“Kami ingin menyatakan bahawa isu ini sudah wujud sejak beberapa bulan lalu di mana ada beberapa individu yang menyamar sebagai peminat Aina Abdul dan membuat ‘postingan’ berbentuk provokasi dan mewujudkan perbalahan di akaun kelab artis lain.

“Sehubungan itu, kami sudah membuat laporan polis berkenaan isu ini dan individu terbabit sudah pun membuat permohonan maaf di media sosial dan juga secara ‘personal’ kepada pihak kami,” tulisnya.

Terdahulu, heboh dakwaan peminat bahawa Aina lebih layak bergelar penyanyi nombor satu negara dan mendakwa Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak lagi relevan pada masa kini.

Kenyataan tersebut membuatkan ramai yang tidak puas hati sehingga membandingkan pencapaian Siti dan Aina.

Malah, ramai juga yang mendakwa perjalanan Aina masih jauh untuk sampai ke tahap Siti apatah lagi untuk bergelar penyanyi nombor satu tanah air.

Maya Basir