Catat Memori Manis, DFP Raikan Hari Raya Dengan 3 Suara Emas di Konsert Cahaya Aidilfitri

Konsert Cahaya Aidilfitri – A Tribute to S. Atan yang berlangsung pada Sabtu lalu di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) adalah satu penghormatan kepada komposer lagenda Malaysia, S. Atan.

Sebagai seorang penulis lirik, komposer muzik dan penerbit album, S. Atan atau nama sebenar Hashim Said telah menghasilkan lebih daripada 1,000 lagu-lagu popular sepanjang kerjayanya.

Dipimpin oleh konduktor Ahmad Muriz Che Rose, konsert bertemakan Aidilfitri yang julung kali diadakan menyaksikan kebolehan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) mempersembahkan muzik pelbagai genre.

Konsert ini juga menjadi tanda mula untuk DFP kembali beraksi menyajikan kombinasi susunan muzik bertaraf dunia serta paduan vokal mantap di pentas berprestij selepas dua tahun dilanda Covid-19.

Konsert ini mengangkat melodi terbaik ciptaan S. Atan yang sentiasa malar segar ke satu tahap muzik yang lebih tinggi.

Penampilan tiga penyanyi tersohor Malaysia iaitu Datuk Jamal Abdillah, Jay Jay dan Azlina Aziz yang mempersembahkan lagu-lagu Aidilfitri popular ciptaan S. Atan iaitu Cahaya Aidilfitri, Dari Jauh Ku Pohon Maaf, Joget Hari Raya, Salam Aidilfitri dan banyak lagi menyerikan malam konsert.

Azlina kelihatan sangat santai berinteraksi dengan penonton namun Jay Jay mengakui bahawa dia sangat gementar pada malam itu.

Selain itu, Jamal membawakan penampilan berbeza dengan mengenakan suit lengkap manakala yang lain menggayakan baju raya masing-masing.

Di dalam konsert ini, Azlina turut bergandingan bersama Jay Jay dan Jamal dengan lagu Inang Aidilfitri serta Joget Hari Raya.


Persembahan hebat dari ketiga-tiga suara emas serta iringan muzik orkestra ini memeriahkan lagi suasana di DFP.

Terpukau dan kagum dengan persembahan orkestra tersebut, penonton beramai-ramai mula bernyanyi apabila melodi dari lagu Balik Kampung dialunkan.

Merupakan kali pertama DFP mengangkat karya lagu raya, pastinya konsert ini menjadi sebuah catatan memori manis di hati penonton.

Antara yang hadir ke konsert ini adalah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, penyanyi Datuk M. Nasir dan ramai lagi.

Maya Basir