Dakwa Filem Gadis Jolobu The Movie Karya ‘Infinity Sh*t’, Penerbit Bakal Saman YouTuber

Penerbit filem Gadis Jolobu The Movie, Saraleana Nattaya Azmi mendedahkan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang YouTuber atas tindakannya mengkritik filem bergenre komedi romantik itu.

Ia susulan selepas YouTuber terbabit memuat naik pendapatnya yang berunsur negatif setelah menonton filem berkenaan dengan menyifatkan filem tersebut sebagai karya ‘infinity shit’ (sangat teruk) di akaun Twitter miliknya.

“YouTuber itu siapa? Apa kelayakan dan ilmu yang dia ada untuk mengkritik sesebuah filem? Bahasa yang dia gunakan bukan menggambarkan dirinya seorang yang pandai seperti pengkritik filem.

“Jadi saya dan CL Hor sudah berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan saman. Tunggu surat saman akan sampai tidak lama lagi,” katanya.

Bagaimanapun, Saraleana mengakui terbuka dengan setiap bentuk komen yang diberikan terhadap filem terebut, namun haruslah menggunakan bahasa yang bersesuaian.

“Sesiapa sahaja boleh menjadi pengkritik fiem lebih-lebih lagi dengan adanya pelbagai platform media sosial seperti YouTube, Facebook dan TikTok.

“Namun, gunakanlah bahawa yang sesuai mengikut etika supaya tidak mengguris hati mana-mana pihak terutamanya penerbit yang telah mengeluarkan bajet berjuta-juta ringgit untuk menghasilkan sesebuah karya.

“Gadis Jolobu The Movie adalah filem pertama yang saya terbitkan. Saya ada lagi 11 buah filem. Sebagai penerbit wanita Melayu yang diberi modal dan kepercayaan oleh syarikat bukan Melayu untuk menghasilkan karya berbudaya, saya rasa malu dengan bahasa kasar yang digunakan YouTuber tersebut,” ujarnya.

Sumber/foto: Kosmo

Aqilah Paharuzi