Categories: Hiburan

“Dekat Di Hati Saya Kerana…” – Achey & Nabil Sumbang RM15,000 Bantu Kajian Barah Payudara

Dua pelawak popular, Achey dari kumpulan Bocey dan Nabil Ahmad memberikan sumbangan kepada Makmal Penyelidikan Kanser Universiti Putra Malaysia (UPM)- Majlis Kanser Nasional (MAKNA) (CANRES).

Sumbangan sebanyak RM15,000 itu diberikan bersempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara yang disambut pada bulan Oktober saban tahun.

Menurut Achey atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Hamzah, 34, sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) hasil kolaborasi mereka bersama jenama wangian popular, SugarBomb.

“Pada awalnya, buah fikiran untuk melakukan CSR ini datang daripada Nabil sendiri. Bila saya tahu sumbangan itu bakal digunakan untuk tujuan murni, terus saya bersetuju.

“Sumbangan ini bakal memberi manfaat kepada rawatan, penyelidikan dan pendidikan berkenaan kanser payudara.

“Sebenarnya, ia dekat di hati saya kerana ada ibu saudara saya yang menjadi ‘mangsa’ kanser berbahaya ini,” katanya.

Achey ditemui oleh xtra sewaktu sewaktu majlis penyerahan sumbangan cek kepada CANRES baru-baru ini.

Turut hadir, Pengurus Besar SugarBomb, Kanumbu Agussalim dan Pengarah Institut Biosains UPM, Prof. Dr. Zunita Zakaria.

Bagaimanapun, Nabil tidak dapat hadir pada majlis itu atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Tambah Achey, dia meletakkan harapan agar sumbangan terbabit dapat memberi sedikit sebanyak impak positif terhadap kajian mengenai penyakit yang menjadi pembunuh golongan wanita di dunia.

“Kanser memang berbahaya. Saya teringat dengan ibu saudara yang bertarung sehingga nafas terakhir melawan sakit ini.

“Saya juga ingin menitipkan pesan kepada lelaki di luar sana, kita juga mempunyai risiko untuk dapat penyakit kanser payudara ini, tapi kesedaran agak kurang.

“Tak kira lelaki atau perempuan, peratusan risiko menghidap kanser sama sahaja tanpa mengira jantina,” katanya lagi.

Kesemua sumbangan itu merupakan hasil sebahagian jualan daripada produk Sugarbomb X Achey dan Edisi Sugarbomb X LuP’K.

Sebagai info, Bukan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia disambut setiap tahun pada bulan Oktober dan turut dinamakan sebagai ‘Pink Oktober’.

Sambutan tersebut bagi memperingati dan meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara di persada dunia.

Padin