Categories: HiburanSelebriti

Dikritik ‘Gedik’ Ketika Mengacara… Terbuka Terima Teguran, Kak Lina Pom Pom Hanya Karakter Atas Pentas

Pelakon dan pengacara Elly Mazlein tampil memberikan respons berkenaan kritikan yang diterimanya ketika mengendalikan sebuah program realiti stesen televisyen berbayar, baru-baru ini.

Terdahulu, segelintir netizen meluahkan rasa kurang senang apabila melihat Elly atau mesra disapa Kak Lina Pom Pom yang dikatakan ‘gedik’ dan ‘over’ ketika mengacara program itu bersama Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Menyedari perkara itu, Elly telah memuat naik sebuah perkongsian permohonan maaf atas ketelanjurannya ketika mengacara di Instagram miliknya, minggu lalu.

Menurut Elly, watak Kak Lina Pom Pom itu hanyalah karakternya ketika di atas pentas sahaja.

“Itu dinamakan kerja tetapi penat kalau 24 jam menjadi Kak Lina Pom Pom. Apabila di atas pentas perlu ada pelbagai watak sebab saya jadi hos program hiburan.

“Asalkan saya tahu batas sebagai isteri orang dan tidak menyentuh mana-mana peserta lelaki cuma ‘menggelitat’ (menggelitis) sahajalah,” katanya.

Memetik laporan Kosmo! Online, Elly menerima setiap kritikan dan kecaman netizen dengan terbuka kerana menganggap semua pihak mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mereka.

“Saya baca komen netizen dan ambil maklum pandangan mereka dan menerima serta menghormati semuanya dengan positif.

“Tiada istilah terasa hati atau menangis pun sebab saya sayang netizen dan anggap mereka seperti kawan-kawan,” jelasnya.

Namun, Elly yang pernah membintangi drama Kampung People itu juga meluahkan rasa terkejut dengan respons positif yang diterima daripada penonton setia program itu.

“Saya terharu dengan sambutan yang diberikan orang ramai kerana menerima hasil kerja terutama pada usia yang lewat ini.

“Setakat ini saya seronok dan mengakui adakalanya terfikir cara untuk hiburkan penonton pada minggu mendatang.

“Syukur saya ada rakan pengacara yang saling membantu iaitu Nabil dan Jihan. Apapun terima kasih kepada semua yang menyokong saya,” katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Fatin Nurain