Fasha-Aidil Nikah Mac Ini, Tahniah!

Pelakon Fasha Sandha memaklumkan bakal berkahwin dengan tunangnya, pelakon Aidil Aziz pada Mac ini.

Menurut Fasha kepada Harian Metro, majlis pernikahan dan resepsi akan diadakan di Perlis manakala resepsi pihak lelaki akan diadakan di Rembau, Negeri Sembilan.

 “ Saya dan Aidil memang merancang nak nikah hujung Mac ini. Majlis diadakan di Perlis atas permintaan mak saya. Malah, untuk majlis nikah akan dibuat di masjid.

“ Kami takkan berahsia. Insya Allah, saya akan berkongsi lanjut dan menjemput rakan media untuk hadir,” katanya.

Tambah Fasha, dia dan Aidil dijangka menjemput peminat pada hari bahagia itu nanti.

“ Buat masa ini belum ada sebarang persiapan kahwin kerana saya masih sibuk di set drama Patah Sayap Bertongkat Paruh dijangka tamat pada 18 Februari. Kemudian, saya ada projek lain yang menanti.

“ Berbanding Aidil, dia sudah buat sedikit demi sedikit seperti beli kain untuk keluarganya.

“ Perancang perkahwinan sudah ada, tetapi saya belum ada masa untuk berjumpa dan berbincang. Saya nak selesaikan dahulu soal kerja baru boleh fikir mengenai majlis kahwin,” katanya.

Terdahulu, pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 18 November lalu.

Fasha sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama usahawan, Rizal Ashram Ramli pada 27 April 2012 sebelum bercerai pada 20 Januari 2016.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu, Putra Rayfal berusia lima tahun dan Putri Raysha Jemyma, 4.

SGMS Faida