Hilang 20 Kg, Aishah Tak Ralat Makan Dua Suap Selama-Lamanya

Penampilan penyanyi malar segar, Aishah mendapat perhatian ramai di Majlis Berbuka Puasa bersama para pelakon filem Kalla. Bentuk badannya jauh lebih langsing sekaligus mendapat pujian ramai!

Penyanyi yang popular dengan lagu Janji Manismu ini mengaku baru sahaja selesai menjalani pembedahan mengecilkan perut di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

“ Selepas saya lakukan pembedahan bariatrik, saya hilang berat badan sebanyak 20 kilogram.

“ Jangan salah sangka yang saya bergantung pada ubat kurus. Hasil hari ini yang anda nampak dipantau dengan sempurna oleh doktor pakar,” katanya kepada xtra.com.

Penampilan Terbaru Aishah selepas menjalani pembedahan Bariatrik

Tambahnya, pembedahan ini bukanlah tertumpu kepada untuk nampak kurus semata-mata tetapi ia lebih kepada memulihkan kesihatan.

“ Saya mengalami sakit kaki memandangkan saiz badan yang besar. Bayangkan ketika berada di Eropah beberapa bulan lalu, saya perlu berjalan kaki ke sana sini dengan kaki yang sangat sakit.

“ Selain itu, obesiti juga boleh menjadi pelbagai punca penyakit kronik. Lebih baik cegah sebelum merawat. Atas nasihat doktor, saya setuju lakukannya,” katanya.

Aishah turut memberitahu keputusan untuk menjalani pembedahan bariatrik juga diambil selepas mendapat sokongan moral daripada chef selebriti, Chef Zam Wahab.

“ Beberapa selebriti tanah air turut menjalani pembedahan ini antaranya Chef Zam dan Vicha Saywho.

“ Ramai yang tanya pada saya, sakit tak? Apa yang boleh saya simpulkan, sakit pembedahan ini apalah sangat berbanding dengan kesakitan kaki yang terpaksa saya tanggung selama ini. Syukur semuanya selamat,” katanya.

Dalam masa sama, Aishah memberitahu dia amat berpuas hati dengan keadaan fizikalnya sekarang walaupun pola pemakanannya telah berubah.

“ Kalau dulu makan berpinggan, sekarang cukuplah sekadar dua ke tiga suap. Pasti kenyang. Saya gembira dengan keadaan sekarang kerana pada masa sama, stamina ketika menyanyi di pentas juga bertambah baik,” akhirinya.

Penyanyi berusia 52 tahun ini bakal masuk ke studio bagi merakamkan sebuah lagu bertajuk Malar ciptaan komposer Hazami. Tak sabar nak mendengar hasilnya, pasti meletop! Good Luck Kak Aishah

SGMS Faida