Ikut Solat Subuh Di Masjid, Ibu Maryam Durian Kimchi Mahu Belajar Agama- “Dia Bawa Balik Telekung Ke Korea & Belajar Solat”

Selebriti media sosial, Maryam Younarae atau lebih mesra dengan panggilan Maryam Durian Kimchi terharu apabila ibunya datang ke Malaysia untuk melawat anak dan cucunya selepas tiga tahun tidak bersua.

Menerusi hantaran terkini di Instagram, Maryam sempat berkongsi perasaannya ketika menghantar ibunya itu pulang ke Korea.

Menurutnya, dia sangat merindui kasih sayang dari ibunya sejak berhijrah ke Malaysia sekaligus kehadiran susuk wanita itu sedikit sebanyak dapat mengubati kerinduannya.

“Saya di sini (Malaysia) sendirian tanpa keluarga sejak 3 tahun yang lalu dan saya telah mengharungi hidup saya sebagai seorang ibu kepada anak saya.

“Sepanjang tempoh itu, saya banyak menghabiskan masa membesarkan dan mencurahkan kasih sayang kepada anak lebih daripada diri saya sendiri sehinggalah ibu datang melawat.

“Saya sedar saya juga perlu disayangi (oleh seorang ibu) seperti saya menyayangi anak perempuan saya. Saya dapat merasakan ikatan kekeluargaan itu apabila dapat berkongsi kegembiraan, ketawa dan kenangan bsersama ibu saya.

“Saya tidak pernah menangis ketika melihat dia pergi meninggalkan saya tetapi hari ini saya menangis. Saya akan rasa keseorangan lagi tanpanya di sisi tetapi saya akan kuatkan diri sehinggalah saya akan bertemu dengannya lagi,” katanya.

Dalam pada itu,  Maryam juga berkongsi momen membawa ibunya ke masjid untuk menunaikan solat subuh serta menghadiahkan wanita itu sepasang telekung.

Bahkan, ibunya turut memaklumkan tentang keinginannya untuk membawa pulang telekung pemberian anaknya itu ke Korea Selatan kerana ingin perlahan-perlahan belajar solat di sana.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata warganet turut berasa sebak dengan perkongsian Maryam sekaligus  menitipkan doa agar ibu tercintanya itu diberikan hidayah.

Insya-Allah , Omma juga bawak balik Maryam punya telekung untuk belajar solat di Korea. Semua doakan untuk Ibu Maryam ya,” jelasnya.

 

Salma Syahbuddin