Luka Perlu Dicuci Setiap Hari Di Klinik, Kesihatan Roslan Saleh Makin Merosot

Tahap kesihatan pelakon veteran, Roslan Saleh dilaporkan kurang baik akibat penyakit kencing manis yang dihadapi sejak lebih 10 tahun.

Memetik laporan mStar, isterinya iaitu Zainon memberitahu kesihatan Roslan atau lebih mesra dipanggil Pak Lan mula merosot sejak dimasukkan ke hospital pada Mei lalu akibat melecur di bahagian tapak kaki.

“Ada seorang kenalan menawarkan untuk buat rawatan sendi ketika datang ziarah ke rumah. Bagaimanapun tiba-tiba kaki Pak Lan jadi melecur dan terpaksa di bawa ke hospital.

“Selepas beberapa minggu menerima rawatan, dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana ketika itu tekanan darah rendah. Sejak itu mula lah macam-macam penyakit datang.

“Sekarang ini suami sudah berada di rumah. Namun keadaan kesihatannya tidaklah begitu baik,” katanya.

Menurut isterinya lagi, aktor berusia 65 tahun itu kini hanya terlantar di atas katil dan tidak dapat menguruskan diri sendiri.

Selain itu, penglihatannya juga makin kabur dan masih bergantung kepada ubat-ubatan selain perlu ke klinik berhampiran untuk mencuci bahagian luka.

“Suami saya memang dah tak boleh nak berjalan dan hanya terlantar di atas katil.

“Makan pun saya yang suapkan. Ada juga seorang anak kami yang membantu untuk menguruskan Pak Lan setiap hari.

“Akibat kesan melecur sebelum ini, Pak Lan terpaksa datang ke klinik untuk mencuci luka setiap hari,” ujarnya.

Pada masa sama, Zainon berbesar hati untuk menerima bantuan keperluan seperti lampin pakai buang dan susu jika ada mana-mana pihak yang sudi.

Antara filem yang pernah dibintangi Roslan ialah, Sembilu 2, Munafik 2 dan Anak Perjanjian Syaitan.

Sumber: mStar

Maya Basir