Mamat Ingin Jep & Shuib Berbaik – “Dapat Minum Kopi Bersama Pun Dah Cukup”

Pelawak Mamat atau Mohd. Nor Murad yang merupakan salah seorang anggota Sepahtu suatu ketika dahulu mengakui dirinya ingin mengakhiri perang dingin di antara dua sahabatnya, Jep dan Shuib.

Menurut Mamat, dia berasa bertanggungjawab untuk menemukan dua sahabat karibnya itu demi memulihkan hubungan persahabatan mereka dengan cara yang santai seperti dahulu.

“Saya kumpulkan Jep dan Shuib pada sekitar 2006. Ditakdirkan kami menang dan kemudian menjadi juara lagi. Dari hidup susah, ada yang sudah ke tahap jutawan, jadi orang penting.

“Saya pun tak sangka terjadinya isu sebegini dan soal perpecahan berbangkit. Secara peribadi memang saya mahu satukan mereka, tetapi bukan dalam keadaan sekarang ketika masing-masing sibuk.

“Saya pun suka dapat duduk sekali dengan mereka sambil mengenang kisah lampau kami, bergelak ketawa, bukan bercerita hal kerja. Sebenarnya kami ada kod bahasa kami sendiri,” katanya.

Memetik laporan Kosmo! Online, pelawak itu juga rindu akan momen mereka bertiga bersama serta kerap bertemu dengan Jep dan Shuib selepas dia mendirikan rumah tangga.

“Rindu memang rindu sebab Sepah adalah kumpulan terbaik yang saya ada. Cuma untuk duduk bertiga, saya minta doakan saja. Dapat minum kopi bersama-sama pun dah cukup,” jelasnya.

Sumber: Kosmo! Online

Fatin Nurain