Categories: Hiburan

Masih Trauma Dengan ‘Vokal Mania’, Kurang Keyakinan Diri… Nuha Bahrin Anggap Belum Layak Sertai Pertandingan Nyanyian

Penyanyi Nuha Bahrin belum bersedia menyertai mana-mana pertandingan nyanyian kerana kurang keyakinan diri.

Nuha yang pernah pernah menyertai program realiti, Vokal Mania pada 2020 menyifatkan dirinya masih tidak layak bertanding kerana terdapat banyak kekurangan diri lebih-lebih lagi dalam aspek vokal.


Hal tersebut sedikit-sebanyak menyebabkan pelantun lagu Casablanca itu risau.

“Saya anggap program realiti adalah pentas yang saya belum layak sertai. Rakan duet, Naufal Azrin hebat dan berbakat, tapi saya pula banyak kena belajar, selain belum bersedia.

“Daripada mengulangi kesilapan sama, lebih baik saya mempersiapkan diri. Bagi saya, pentas program realiti memerlukan penyanyi yang bagus dan bersedia, bukan sekadar popular.

“Saya perlukan masa. Ramai lagi rakan seperjuangan yang layak berada di pentas program realiti berbanding saya,” jelasnya.

Memetik laporan Berita Harian, Nuha perlu mempersiapkan diri dan menggilap bakat lebih banyak sebelum menerima pelawaan menyertai program realiti.

“Untuk dapat keyakinan sertai program realiti yang ditayangkan di kaca televisyen (TV), bukan mudah.

“Jujurnya, saya tak boleh buat sebab sedar dengan kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Jadi, saya perlukan persediaan barulah boleh bersaing dan sama tahap dengan penyanyi lain,” katanya.

Mengimbau kembali menerusi Vokal Mania 2020, Nuha teruk dikritik netizen kerana nyanyiannya tidak kemas dan seakan-akan menjerit.

Bahkan, Nuha masih trauma dengan apa yang pernah terjadi.

Syamir Shafie