Ruhainies Tak Fikir Soal Jodoh, Mahu Utamakan Keluarga Dahulu – “Saya Tak Terbuka Hati Lagi Untuk…”

“Saya serah pada Allah dan jodoh, kalau ada, adalah, kalau sebaliknya, saya relaks sahaja,” demikian respons pelakon cantik Ruhainies apabila disoal mengenai jodoh.

Menurut pemilik nama sebenar, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas berkata, dia tidak terburu-buru dalam soal jodoh biarpun usianya kini mencecah 30 tahun, namun lebih mengutamakan masa bersama keluarga.

“Saya bukan dalam fasa yang terkejar-kejar untuk ke arah itu. Sekarang ini saya nak chill dulu sebab saya ada banyak perkara yang saya nak tunaikan untuk keluarga.

“Saya tak rasa tertekan sebab zaman sekarang dah moden, kalau dahulu orang akan pandang serong tapi saya dan peminat tahu tentang karier saya. Saya rasa nak bercinta pun tak sempat. Nak bahagikan masa dengan ibu bapa pun saya kena tetapkan pertemuan.

“Saya juga rasa tak terbuka hati lagi untuk mendirikan rumah tangga. Tak tahu kenapa, mungkin saya rasa saya makin muda mungkin,” seloroh Ruhainies.

Ruhainies ditemui pada majlis berbuka puasa sesuci Ramadan bersama Ruhainies, Zaki Yamani, Rizal Rasid & Aiman Zaidi, di ibu kota, baru-baru ini.

Jika ditakdirkan bertemu dengan seseorang yang betul-betul sesuai, pelakon drama Sayang Tak Dikenang ini tidak teragak-agak untuk menamatkan zaman bujangnya itu.

Malah, tidak mahu membuang masa untuk bercinta dan menganggap percintaan selepas nikah itu sangat manis.

“Saya rasa nak bercinta selepas kahwinlah, saya rasa itu lagi ‘sweet’. Sejujurnya saya pun tak tahu, saya serahkan semuanya pada jodoh.

“Kalau saya terbuka hati pada seseorang, saya perlu tengok usaha dia juga dan kalau okey saya akan ke fasa seterusnya.

“Saya rasa nak bercinta itu buang masa, kita bukan budak-budak lagi,” katanya.

Terdahulu, Ruhainies pernah terpalit dengan dakwaan menjalinkan hubungan cinta dengan anak ahli politik gara-gara turun berkempen pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15, namun menafikan dakwaan tersebut.

Terbaharu, Ruhainies bakal tampil bersama Daniel Fong dalam drama berjudul Bintang di Slot Lestary, TV3  bermula 6 April setiap Rabu hingga Sabtu jam 9 malam.

Khairil Khusyairi