Categories: Hiburan

Selepas 22 Tahun Tanpa Konsert Solo, ‘Ziana Zain Konsert 2024’ Hadiah Istimewa Untuk Peminat

Selepas 22 tahun tidak beraksi lincah dan menawan peminat atas sebuah panggung bersifat mega, penyanyi bervokal lantang, Ziana Zain bakal mengadakan ‘Ziana Zain Konsert 2024’ yang berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 25 Mei 2024.

‘Ziana Zain Konsert 2024’ yang dipersembahkan oleh CSA Academy selaku penaja utama dianjurkan oleh Anuar Zain Network Sdn Bhd dan Ziana Zain Network Sdn Bhd dengan kerjasama Altus ProHouse.

Penghibur yang mendapat gelaran Diva Pop itu kali terakhir mengadakan konsert solo menerusi Ziana Zain In The Park yang diadakan di PWTC (kini World Trade Centre) Kuala Lumpur pada tahun 2001.

Ziana Zain Konsert 2024

Selepas 22 tahun, konsert ini bakal menjadi tanda aras buat penghibur wanita dengan nama sebenar Siti Roziana Zain, seorang ikon seni yang akan terus dihormati dan disegani meski hadir banyak penyanyi baharu dan tahun terus berganti.

Ramai tak sabar menantikan Ziana Zain Konsert 2024

Menurut Ziana, konsert ini akan menyaksikan revolusi seorang permata seni negara yang seluruh jiwa dan raganya sudah dipahat dalam industri penuh pancaroba ini.

“Saya tidak mahu hanya sekadar ada konsert dan menyanyi tetapi kesan manis atau kenangan terbaik tidak dirasai oleh peminat yang menyokong karier saya selama ini.

Setiap konsert ada keistimewaannya

“Setiap konsert yang saya lakukan mesti ada keistimewaannya lalu boleh menjadi rujukan pada masa akan datang.

Anuar Zain dan Ziana Zain

“Sebab itu saya sangat berhati-hati untuk melakukan konsert dan 25 Mei 2024 adalah momen terbaik untuk CSA ACADEMY ‘Mempersembahkan Ziana Zain Konsert 2024’ dilaksanakan buat anda semua.

“Tunggu dan lihat apa yang akan dipersembahkan dalam konsert ini nanti. Yang pasti ia akan melambangkan perjuangan saya dalam dunia seni sepanjang 33 tahun ini, Insya-Allah,” kata Ziana.

Konsert ini akan menyaksikan gabungan hasil kreatif muzik dan pentas dari Aubrey Suwito sebagai Pengarah Muzik beserta 16 orang pemuzik profesional manakala Jennifer Thompson sebagai pengarah konsert.

Tiket berharga RM288 (gold), RM488 (platinum), RM688 (diamond), RM888 (VIP 2), RM1,088 (VIP 1) boleh dibeli menerusi laman sesawang www.ticket2u.com.my/ mulai 15 Disember 2023 jam 10.00 pagi di laman web www.ticket2u.com.my/zianazain.

Manakala untuk pembeli tiket OKU (Orang Kurang Upaya) dan pembelian tiket melebihi 50 keping boleh menghubungi hotline tiket di 01111900518. Untuk kemudahan pembeli tiket OKU, mereka hanya boleh membeli tiket di hotline tertera. Pembeli tiket OKU boleh menghadiri konsert dengan seorang peneman.

Padin