Spekulasi Bercinta Dengan A. Aida Terjawab, Wak Doyok Akui Sudah Ada Kekasih

Gara-gara tular video menyambut ulang tahun kelahiran bersama penerbit Datuk A. Aida sebelum ini, pelakon dan usahawan Wak Doyok dikatakan mempunyai hubungan dengan wanita itu.

Namun begitu, memetik laporan Harian Metro, Wak Doyok menafikan dakwaan bahawa dia mempunyai hubungan cinta dengan A.Aida.

Kata Wak Doyok, hubungan rapatnya dengan penerbit itu seperti adik beradik dan menganggap A.Aida sebagai mentornya sahaja.

“Kami sudah kenal lama lebih sepuluh tahun iaitu sejak 2012. A. Aida adalah mentor saya dalam dunia bisnes dan kami saling membantu antara satu sama lain.

“Saya juga sudah menganggapnya seperti kakak dan hubungan kami sudah seperti adik-beradik,” jelasnya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kriteria wanita idaman, dia gemar jika wanita tersebut lebih muda dari usianya.

“Sebagai lelaki saya mahukan yang terbaik soal teman hidup.

“Kalau wanita itu lebih berusia dari saya nanti kalau dia jatuh sakit saya pula nak kena jaga dia.

“Saya memilih wanita yang berusia 25 tahun dan ke atas untuk dijadikan pasangan. Kalau muda sangat pun nanti susah juga sebab belum matang,” ujarnya kepada Harian Metro.

Tambah, Wak Doyok atau nama sebenarnya Mohd Azwan Mohd Nor, 43, mengakui bahawa kini dia sudah memiliki kekasih hati.

“Kami baru kenal beberapa bulan dan dalam proses mengenali hati budi lagi.

“Teman wanita saya itu orang biasa saja,” jelas Wak.

Namun begitu, Wak Doyok menyatakan bahawa dia perlu mendapatkan restu dari ibunya dahulu mengenai hubungan istimewa ini.

“Sebelum ini, hubungan saya dengan beberapa teman wanita berakhir kerana mereka menolak untuk tinggal bersama ibu bila sudah berkahwin nanti,” kongsinya.

Sumber: Harian Metro

Atiqah Johari