Tak Kisah Tua Tapi Takut Nyanyuk! Rozita Che Wan Dedah Amalan Harian – “Saya Pilih Untuk…”

Selepas dikritik wajahnya kelihatan tua, pelakon Rozita Che Wan mengakui bahawa dirinya sudah berusia dan menerima dengan hati terbuka tentang kata-kata wargamaya.

Rozita Che Wan atau lebih mesra dipanggil Che Ta tidak ambil hati dengan dakwaan wargamaya malah dia bersyukur walaupun umurnya bakal mencecah separuh abad dia masih mampu untuk bekerja dan menguruskan pelbagai hal.

“Orang kata saya tua… Ya saya memang sudah tua! Tiada masalah mengenai perkara itu kerana meskipun sudah berusia tetapi saya masih mampu untuk bekerja dan menguruskan banyak perkara.

“Berkedut itu memang ada dan pada saya golongan muda juga ada kedutan di wajah tetapi sehingga sekarang saya masih tiada uban,” ujarnya kepada mStar.

Memetik laporan mStar, Che Ta memaklumkan bahawa dia lebih rela tua dalam keadaan sihat bukan sebaliknya.

Tambah isteri kepada Zain Saidin itu, dia takut jika semakin berusia dia menjadi seorang yang nyanyuk dan mengamalkan bacaan surah Yasin pada setiap kali solat Subuh sebagai langkah pencegahan.

“Saya pilih untuk tua dalam keadaan sihat berbanding cantik tetapi sakit. Apa yang saya takutkan adalah menjadi nyanyuk tetapi Insya Allah perkara itu boleh diatasi sekiranya kita mengamalkan bacaan surah Yasin setiap kali selepas solat Subuh,” katanya.

Bukan itu sahaja, pelakon Mem & Bibik-Bibik itu turut memaklumkan bahawa dia mampu untuk melakukan senaman kempiskan perut dengan melakukan sit-up sebanyak 400 kali sebelum berkahwin dengan suaminya, Zain Saidin dan tidak makan makanan segera dan makanan yang diproses.

“Sebelum berkahwin dengan Zain boleh buat sit-up 400 kali sehari tetapi sekarang sudah tiada masa. Sejak dulu lagi saya memang tidak suka makan makanan segera dan makanan yang diproses seperti bebola daging atau ikan.

“Namun saya seorang yang sukakan minuman manis dan di rumah selalunya akan ada air sirap atau sirap bandung. Saya memang tak boleh minum air putih sebab akan rasa macam tiada selera,” ujarnya kepada mStar.

Untuk info, Rozita Che Wan telah mendirikan rumah tangga pada 11 Disember 2013. Hasil perkahwinan keduanya ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Aaisyah Dhia Rana.

Che Ta juga memiliki dua orang anak lelaki daripada perkahwinan terdahulunya iaitu Ammar Effendy dan Aniq Ezzra.

Sumber: mStar

Atiqah Johari