Terima Rasuah Berjumlah RM18,000 Untuk Jayakan Konsert Rock Legenda, Penolong Pengurus Syarikat Direman

Seorang wanita yang juga penolong pengurus syarikat berkaitan agensi kerajaan direman empat hari bagi membantu siasatan kerana disyaki menerima suapan berjumlah RM18,000 daripada seorang pengarah syarikat bagi menjayakan satu konsert rock legenda, Ogos tahun lalu.

Menurut laporan Harian Metro, perintah reman dikeluarkan Majistret Khairunnisak Hassni selepas dipohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka bagi melengkapkan siasatan kes itu.

Mahkamah membenarkan suspek berusia 37 tahun dan ibu kepada dua anak itu direman empat hari bermula hari ini bagi membolehkan SPRM melengkapkan siasatan.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek yang juga urus setia bagi geran berkenaan membantu pengarah syarikat itu mendapatkan kelulusan geran konsert sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (kini Kementerian Komunikasi) berjumlah RM300,000.

“Sebagai balasan, suspek dipercayai meminta komisen antara 10 hingga 20 peratus berjumlah RM18,000,” katanya.

Katanya, suspek ditahan kira-kira jam 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM.

Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana tinggi dan penjara maksimum 20 tahun.

Terdahulu suspek tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini kira-kira jam 9 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.

Sumber: Harian Metro

Khairil Khusyairi