Tidak Berpantang Cara Orang Melayu, Dr Amalina Beri Tips Lepas Bersalin

Doktor pakar bedah, Dr Amalina Bakri tampil kongsi penjagaan lepas bersalin selepas ramai yang bimbang akan dirinya sudah keluar bersiar-siar selepas empat hari melahirkan anak.

Menerusi perkongsiannya di Instagram, dia mengamalkan penjagaan selepas bersalin yang disarankan oleh pakar obstetrik dan pengalaman sebagai seorang doktor.

“Ramai yang bertanya mengenai penjagaan selepas bersalin yang saya amalkan.

“Saya akan berkongsi amalan saya sendiri berdasarkan kajian saintifik yang disarankan oleh pakar obstetrik dan pengalaman saya sendiri sebagai seorang doktor,” tulisnya.

Menurut Amalina, dia banyak mengamalkan pemakanan yang sihat serta melakukan aktiviti dan senaman ringan.

“Amalkan makanan sihat & seimbang seumur hidup. Makan sayur-sayuran & buah. Makan secara bersederhana untuk mengekalkan berat yang ideal. Tidak perlu pantang telur atau ayam jika tiada alahan.

“Aktiviti seharian. Tingkatkan intensiti aktiviti secara beransur-ansur. Jangan angkat barang yang lebih berat daripada bayi anda selama 6 minggu.

“Jika anda bersalin secara normal tanpa komplikasi, anda boleh mulakan senaman ringan sebaik sahaja anda berasa bersedia. Ini termasuk berjalan kaki, kegel (pelvic floor exercise) dan senaman perut,” katanya.

Selain itu, jika mengalami pendarahan semakin teruk, dia menasihati agar mengurangkan aktiviti berat dan memperbanyakkan rehat.

“Jika pendarahan selepas bersalin (lochia) anda bertambah berat atau bertukar warna (menjadi merah jambu atau merah) selepas melakukan aktiviti, anda mungkin melakukan aktiviti secara berlebihan. Kurangkan aktiviti dan pastikan anda mendapat banyak rehat.

Tambahnya lagi, kebersihan perlu dititikberatkan dan elak dari berhubungan intim dengan suami selama enam minggu selepas bersalin.

Malah, kesihatan mental ibu perlu dijaga dan sokongan daripada suami dan keluarga adalah sangat penting.

“Jaga kebersihan & mandi setiap hari. Ambil laxatives jika perlu untuk elak sembelit.

“Elak hubungan seks sehingga darah lochia berhenti atau selama 6 minggu selepas bersalin.

“Jaga kesihatan mental, jangan stress dan enjoy your motherhood. Dapatkan sokongan daripada suami dan keluarga,” ujarnya.

Di akhir kapsyennya, dia memberitahu tips mudah ini harus dijadikan gaya hidup dan perlu dilakukan seumur hidup, bukan hanya untuk tempoh 44 hari selepas bersalin.

Maya Basir