Utamakan Keluarga Berbanding Kerjaya, Kehadiran Maryam Tahirah Ubah Cara Hidup Faizal Tahir

Penyanyi Faizal Tahir mengakui perubahan usianya kini menyebabkan dirinya lebih mengutamakan keluarga dan peranannya sebagai seorang bapa berbanding penyanyi.

Menurut Faizal, kehadiran cahaya mata bongsunya, Maryam Tahirah yang merupakan anak istimewa ‘donw syndrome’ telah mengubah banyak perkara dalam kehidupannya..

“Kalau zaman poyo dulu, mungkin saya letak kerjaya dahulu sebelum keluarga dengan alasan kalau berjaya sudah tentu dapat menanggung keluarga.

“Dengan anak-anak yang sudah makin membesar serta ada yang sudah habis sekolah, saya pun belajar daripada kesilapan, dan akhirnya sedar keluarga perlu menjadi keutamaan, barulah kerjaya akan menjadi lebih cantik,” katanya.

Selain itu, Faizal menyatakan dia perlu memberikan perhatian penuh terhadap anak bongsunya yang kini sudah berusia satu tahun itu kerana masih mempunyai masalah jantung dan perlu menjalani pembedahan.

Sebak melihat keadaan Maryam, penyanyi itu turut menyatakan anaknya kini perlu dipasangkan tiub pada bahagian perut untuk memberi ubat dan minum susu.

“Cabaran paling besar sepanjang menjaga Maryam adalah saya perlu sentiasa bersedia kalau ada sebarang kemungkinan berlaku. Tiub itu bertujuan memberi bekalan ubat dan susu.

“Dengan kondisi seperti itu, menyebabkan saya tak boleh bekerja jauh daripada keluarga. Kalau dahulu, boleh sahaja ambil bermacam-macam tawaran. Namun, kali ini saya perlu meluangkan lebih banyak masa dengannya.

“Maryam juga adalah faktor kenapa saya kurang aktif menonjolkan diri sebagai penyanyi. Kalau ikutkan saya masih membuat persembahan untuk majlis korporat dan jemputan lain,” katanya.

Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Faizal ketika ditemui di majlis sidang media Konsert Aku Faizal Tahir, baru-baru ini.

Sebelum ini, Faizal dan isteri telah  mendirikan rumah tangga pada 2001.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga anak lelaki iaitu Ahmad Mikaeel Zidane, Ahmad Rifaei Zidane dan Khalid Al-Walid serta tiga anak perempuan iaitu, Siti Raudhah Nur Iman, Siti Rawdha Nur Jannah dan Siti Nawar Malaika.

 

Fatin Nurain