[VIDEO] Azah Aziz Catwalk Curi Perhatian, Buat ‘Comeback’ Selepas 13 Tahun – “Macam Remaja…Ini Baru Legend”

Pelakon dan model terkenal era 1990-an, Azah Aziz sekali lagi mencuri tumpuan apabila membuat perkongsian di media sosialnya.

Menerusi muat naik di Instagram (IG), Azah atau nama lengkapnya Norazah Aziz, 50, berkongsi beberapa hantaran foto dan video yang memaparkan dia membuat penampilan di sebuah acara pertunjukan fesyen baru-baru ini.

Menjengah lebih lagi di profil Azah, dia turut berkongsi momen-momen sebelum menjayakan acara pertunjukan fesyen tersebut seperti sesi bergambar bersama model.

Turut kelihatan adalah aktres dan model jelita, Nasha Aziz, Amber Chia, dan Thanuja Ananthan.

Azah tampil anggun menggayakan busana rona hitam dan hijau hasil rekaan pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini.

“Saya masih tidak percaya dapat melakukan pertunjukan catwalk ini untuk penampilan kemunculan semula pertama saya secara siaran langsung untuk #tfekl23, saya berbesar hati menjadi sebahagian daripada acara besar ini,” kongsinya teruja.

Tambah Azah, dia teruja dapat membuat penampilan bersama model lain selepas 13 tahun tidak membuat pertunjukan di pentas fesyen.

“Lama tuu tak catwalk. Last was 2010, tak sia-sia selalu practice catwalk dengan kawan-kawan then lead to this big event. Nervous lah juga

“Saya berbesar hati untuk melakukan acara ini bersama-sama dengan 4 supermodel yang lain, terima kasih atas sokongan dan kesabaran anda kerana catwalk saya agak perlahan,” kongsinya.

Ternyata, perkongsian Azah ketika di pentas catwalk itu sedikit sebanyak mengubat kerinduan peminatnya yang sekian lama menanti kemunculannya di industri tanah air.

Meninjau ke ruangan balas, rata-rata pengikut teruja dan terpesona dengan kecantikan ibu kepada tiga cahaya mata ini. Malah, ramai menyifatkan Azah adalah seorang diva yang tak dimamah usia.

Untuk info, Julai lalu Azah dan keluarga memilih untuk kembali pulang ke Malaysia selepas lebih 20 tahun menetap di Kanada.

ARTIKEL BERKAITAN: Azah Aziz Pulang Ke Tanah Air Selepas Lebih 20 Tahun Menetap Di Kanada! – “Permulaan Yang Baharu…Anak-Anak Paling Excited”

 

Khairil Khusyairi