[VIDEO] Persembahan Wani Kayrie Di Vietnam Pukau Penonton, Netizen Pula Anggap ‘Underrated’ – “Talented Singer Tapi Sayang Malaysia Tak Hargai”

Penyanyi Wani Kayrie mencuri tumpuan warganet di media sosial baru-baru ini.

Menerusi perkongsian di TikTok, tular sebuah rakaman video yang memaparkan persembahan Wani Kayrie di pentas Anugerah Asian Television ke-28 di Vietnam.

Video berdurasi lebih 1 minit itu menyaksikan Wani muncul di atas pentas dengan menyanyikan lagu Bang Bang nyanyian asal Jessie J, Ariana Grande & Nicki Minaj.

Tampil dengan busana serba hitam, Wani menyampaikan lagu tersebut dengan baik sekali gus memukau penonton.

“Representing Malaysia,” tulis Wani bangga.

Difahamkan Wani turut mendendangkan lagu hitsnya iaitu Fajar dan Kamu Kamu pada hari kedua anugerah tersebut.

Menjengah ke ruangan balas, rata-rata warganet tampil memberikan pelbagai reaksi terhadap perkongsian tersebut.

Rata-ratanya meluahkan rasa bangga dan memuji Wani yang mewakili negara pada acara berprestij itu.

Tidak kurang juga, ada yang berharap bakat pelantun lagu Kamu Kamu itu terus bersinar dan dihargai di Malaysia.

Khairil Khusyairi