Categories: #ThrowbackXTRA

#ThrowbackXTRA: 28 Tahun Bergelar Anak Seni, Jatuh Bangun Ifa Raziah Bawa Kejayaan

Genap 28 Tahun bergelar anak seni, pelakon, penyanyi dan usahawan Datuk Ifa Raziah mengakui sudah banyak melalui fasa sukar sepanjang menempa nama dalam industri hiburan tanah air.

Umum tahu, suatu ketika dahulu pelakon ini kerap terpalit dengan pelbagai kontroversi yang mampu menjatuhkan namanya sebagai anak seni.

Dalam segmen #ThrowbackXTRA minggu ini, Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha tampil berkongsi pahit manis yang telah dilaluinya sepanjang bergelar anak seni.

Pahit Manis Bergelar Anak Seni

Menurut Ifa, suatu ketika dahulu dia pernah terlibat dalam kes saman fitnah yang amat dahsyat sekitar tahun 2000.

Meskipun kontroversi lalu mampu menjadikan namanya tercalar, Ifa tetap melalui segala cabaran tersebut dengan tenang.

“Fitnah yang sangat teruk sehingga mengheret saya ke mahkamah tapi Alhamdulillah dengan izin Allah SWT saya menang semua kes di mahkamah.

“Zaman tu takda media sosial semuanya dengan Majalah dan akhbar je. Saya hadap je segala kontroversi demi mencari rezeki. Saya tak pernah menyaman atau memusuhi mana-mana press ketika itu yang menjadikan nama saya tercalar.

“Dengan tercetusnya kontroversi itulah yang menjadikan saya dikenali sehingga kini dan masih relevan dalam industri ni selama 28 tahun,” katanya.

Menyanyi, Berlakon & Berniaga

Kini, kerjaya pelantun lagu Miss Diva ini bukan sahaja tertumpu pada bidang lakonan dan nyanyian malah dia juga berjaya meluaskan sayapnya di dalam bidang perniagaan.

“Bidang seni tidak menjanjikan kesenangan dan kemewahan. Pada saya, selama jadi anak seni ni saya menjadi senang dan boleh bermewah-mewah ni sejak ceburi bidang perniagaan.

“Bermula 2018 sehingga kini menjadi Founder Serifa Beauty & Health dan Ketua Pegawai Eksekutif Starvendors Event Sdn Bhd (SV).

“Selama lima tahun ini, SV telah terbukti berjaya membuat event berskala besar dan telah diiktiraf dengan pelbagai Award di Malaysia ini,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Ifa juga masih aktif lagi dalam bidang pengacaraan biarpun sudah jarang muncul dalam mana-mana drama.

“Saya masih lagi aktif dalam dunia hiburan, cuma dari segi lakonan agak terbatas masa tapi masih lagi meengacara setiap minggu di Vazz Vaganza dalam All Star Gegar Vaganza 2023.

“Insya-Allah, saya akan masuk studio recording pada 5 Disember ini di bawah syarikat KRU Music dengan lagu terbaru bersama seorg lagi artis dangdut di Malaysia ni.

“Insya-Allah, tahun depan saya akan come back dengan lagu baharu. Last lagu baru Miss Diva pada 2020 yang lalu. Doakan say sentiasa panjang umur dan dilimpahi rezeki yang banyak .

“Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik demi buat peminat yang sentiasa menyokong karier Ifa Raziah ni,” katanya.

Fatin Nurain