Categories: #ThrowbackXTRA

#ThrowbackXTRA: Cipta Aura Sendiri, Sherry Alhadad Serah Pada Waktu Untuk Raih Populariti

Sebagai seorang pengacara, untuk meraih perhatian dan mendapat tempat di hati penonton bukanlah satu perkara yang mudah.

Selain mempunyai personaliti yang baik, setiap pengacara perlu mempunyai aura yang mampu menarik perhatian penonton.

Menerusi segmen #ThrowbackXTRA pada minggu ini, pengacara Sherry Alhadad tampil berkongsi detik awal dirinya menceburkan diri dalam dunia pengacaraan.

Waktu & Rezeki Sebagai Penentu Populariti Meningkat

Menurut Sherry, dia hanya menyerahkan rezekinya dalam dunia pengacaraan pada waktu dan tidak pernah putus asa dalam mengejar ilmu.

“Sebenarnya ada je pengacara baru yang semakin meningkat naik. Pada saya, saya percaya pada waktu yang betul yang menjadikan kita ke hadapan.

“Saya pun bukan bermula sebagai seorang pengacara. Kita kena ambil waktu sama ada untuk kita belajar. Ada orang sehari dua dah meletup dan terkenal.

“Ada orang bertahun-tahun. Waktu tu jugalah sebenarnya yang penting. Itulah juga rezeki.Saya mula mengacara pun di Anugerah Skrin 2013.

“Ketika itu saya dan Zulin Aziz bukan di hadapan dan hanya mengisi waktu commersial break. Alhamdulillah, saya suka dan saya terus belajar.

“Dalam masa yang sama, pihak stesen televisyen perlu beri peluang kepada pelapis baharu dalam bidang pengacaraan,” katanya.

Cipta Aura Sendiri

Selain mempunyai personaliti dan bakat, Sherry turut mengakui dirinya perlu ada aura yang menyerlah untuk mendapat tempat di hati peminat.

“Bila bercakap tentang aura, bila saya berganding dengan orang yang hebat pun saya boleh rasa. Tapi diri sendiri yang kena ada personaliti yang menyerlah selain daripada ada bakat.

“Aura ni bukan kena mandi tujuh bunga terus ada aura. Kita kena belajar juga,” jelasnya.

Fatin Nurain