Categories: FeaturedTrending

65 Bazar Ramadan Akan Beroperasi Di KL

Tinggal 2 hari sahaja lagi untuk umat Islam menyambut bulan Ramadan yang penuh barakah.

Ramadan tahun ini pasti berbeza dengan tahun lalu, kali ini kemeriahan Bazaar Ramadan kembali dapat dirasai oleh semua umat Islam.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan, hari ini memaklumkan, sebanyak 65 lokasi bazar Ramadan dijangka beroperasi di sekitar ibu kota, bermula 3 petang hingga 8 malam sepanjang Ramadan.


Difahamkan, daripada jumlah lokasi itu, 63 diselia penganjur bazar Ramadan, manakala dua lagi iaitu di tempat letak kereta Taman Tasik Permaisuri (berhampiran Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur) dan di Jalan 4/38 A Taman Sri Sinar, Segambut (Wisma Suhati) akan diselia DBKL sendiri.

Sementara itu, kenyataan itu turut memaklumkan Bazar Aidilfitri yang sebelum ini beroperasi di Jalan Raja, akan beroperasi semula di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) bermula 17 April hingga 12 Mei, setelah ditangguhkan pelaksanaannya tahun lalu susulan Covid-19.

Sebanyak 208 penjaja akan terlibat di lokasi bazar yang bermula dari belakang bangunan Kompleks Campbell sehingga ke susur keluar persimpangan Masjid India, bermula 10 pagi hingga 12 tengah malam.

“Kawasan Lorong TAR yang menempatkan penjaja Bazar Aidilfitri akan dipasang pagar di sepanjang jalan, bagi mengawal keluar/masuk pengunjung dan akan dikawal selia sepenuhnya DBKL,” katanya.

Sehubungan itu, tapak tradisi pasar malam di Lorong TAR setiap Sabtu akan dipindahkan operasi ke Jalan Tuanku Abdul Rahman sepanjang bulan Ramadan iaitu pada 17 April, 24 April, 1 Mei dan 8 Mei 2021.

Kenyataan itu turut memaklumkan, sebahagian Jalan Tuanku Abdul Rahman bermula dari persimpangan Jalan Esfahan (selepas Sogo) sehingga ke persimpangan Jalan Melayu, akan ditutup sepenuhnya kepada kenderaan bagi memberi laluan kepada aktiviti pasar malam bermula 12 tengah hari hingga 12 tengah malam pada tarikh berkenaan.

Pengunjung bazar Ramadan juga diwajibkan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), seperti pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu badan, daftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera dan sebagainya.

Kredit foto: Abdul Latif/Shutterstock

Attiqah Mohd

""Above all, she is the girl who 'feels' things, who has hung on to the freshness and pain of adolescence, the girl ever wounded, ever young.”