Categories: Trending

9 Tahun Bersama, Apek Ucap Selamat Tinggal!

“Tidak guna untuk saya terus kekal bersama pasukan jika mereka sudah tidak memerlukan khidmat saya,” demikian kata penjaga gol Kelantan yang bakal meninggalkan pasukan tersebut tak lama lagi.

Kata Khairul Fahmi atau Apek, hatinya berat untuk berbuat begitu tetapi dia tidak mempunyai pilihan apabila Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengesahkan khidmatnya tidak diperlukan lagi di bawah jurulatih baharu, Fajer Ebrahim.

“Rabu lalu saya menemui Presiden KAFA (Bibi Ramjani Ilias Khan) dan beliau mengesahkan bahawa saya tidak ada dalam perancangan jurulatih untuk baki musim ini.

“Beliau bercadang melepaskan saya dan memberitahu beberapa pasukan menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmat saya. 

“Sebagai pemain, saya akur dengan keputusan KAFA. Jika itu yang terbaik untuk saya dan Kelantan, saya terima dengan hati terbuka,” katanya reda jodohnya dengan pasukan Kelantan setakat ini sahaja.

Bibi, dua pasukan Liga Super menunjukkan minat terhadap penjaga gol berusia 29 tahun itu dengan Melaka United sudah membuat tawaran rasmi. 

Walaupun Bibi tidak menamakan satu lagi pasukan dimaksudkan, namun jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel pernah menyatakan hasratnya mendapatkan khidmat Apek apabila pintu perpindahan kedua dibuka.

Menurut Apek, dia akan menimbang semua tawaran serta berbincang dengan KAFA terlebih dahulu sebelum membuat pilihan muktamad.

“Banyak perkara perlu saya teliti sebelum memilih pasukan yang mahu diwakili. Selain soal gaji dan kebajikan, saya mahu menyertai pasukan yang mempunyai mentaliti juara.

“Saya baru berumur 29 tahun, sebagai penjaga gol, perjalanan karier saya masih panjang dan saya yakin masih mampu memberikan yang terbaik kepada pasukan yang bakal disertai kelak.

“Mungkin ada hikmah daripada apa yang berlaku. Siapa tahu prestasi serta karier saya akan lebih meningkat bersama pasukan baharu itu kelak,” kata Apek yang mula mewakili Kelantan sejak 2009.

SGMS Faida