[VIDEO] Issey Fazlisham Kongsi Detik Cemas Anak Hampir Dirempuh Kereta Mengundur Laju

Pelawak dan penyampai radio Issey Fazlisham berkongsi detik cemas apabila isteri dan anaknya hampir dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Puncak Alam, baru-baru ini.

Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Issey memuat naik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan detik sebelum sebuah kereta merempuh sebuah premis kedai.

Lebih mengejutkan, isteri dan juga dua anaknya serta seorang anak saudaranya berada di dalam premis kedai tersebut untuk membeli barangan keperluan haiwan.

“Ketika ini isteri saya, @aimi_jamel , @alieyaerissha (anak buah), Umaira (anak saya) dan Iyyen (anak saya) berada di dalam kedai.

“Aimi sedang memilih barang kucing, anak lelaki saya Iyyen (baju kuning) paling hampir dengan kejadian,” tulisnya.

Namun, Issey bersyukur kejadian tersebut tidak menimpa kepada keluarganya namun bersimpati dengan mangsa yang terlibat.

“Alhamdulilllah. Allah lindung kami sekeluarga. Kecederaan berlaku pada mangsa di luar. Katanya terus dirawat di hospital, dan kecederaan ringan.

“Alhamdulillah semuanya selamat. Saya bersimpati dengan apa yang terjadi. Ketika ini saya tiada di tempat kejadian.

“Bagi pihak saya dan keluarga, kami syukur tidak ada apa yang berlaku. Saya doakan untuk masa akan datang agar semuanya terhindar dari kemalangan seperti ini lagi,” kongsinya.

Dalam pada itu, Issey berharap insiden tersebut tidak dispekulasikan orang ramai kerana pihak yang terlibat sudah memohon maaf kepadanya.

“Tujuan saya kongsikan video ini, agar kita semua lebih berhati hati. Saya berharap kita semua tidak membuat apa apa spekulasi kepada pemandu dan mangsa.

“Pihak keluarga pemandu pun ada menghubungi saya untuk mintak maaf. Saya doakan semuanya dipermudahkan. Katanya semuanya sudah selesai dengan bantuan pihak Polis. Hati-hati ya semua. Jaga diri,” tutupnya.

Pada Selasa, tular sebuah rakaman video yang memaparkan sebuah kereta mengundur laju dan merempuh sebuah premis kedai sehingga menyebabkan seorang kanak-kanak cedera ringan.

Khairil Khusyairi