Categories: Trending

Video Pendek Bahasa Isyarat Berkenaan Covid-19 Disediakan Khas Buat OKU

Video pendek bahasa isyarat berunsur nasihat telah disediakan khas buat orang kurang upaya (OKU) dalam mendapatkan maklumat penting mengenai wabak COVID-19.

Menurut laporan Berita Harian hari ini, Timbalan Presiden Persatuan Bahasa Isyarat Malaysia dan Pengajian Pekak, Amir Hamidi Abdul Manan berkata video bahasa isyarat mengenai nasihat duduk di rumah serta langkah pencegahan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 itu merupakan inisiatif beberapa jurubahasa isyarat dan individu pekak dalam menghasilkan video pendek untuk komuniti itu.

Beliau berkata, video dalam bahasa isyarat adalah medium penyampaian yang paling berkesan dan cepat kepada komuniti pekak berbanding mesej berformat teks.

“Majoriti orang pekak kurang menguasai bahasa lisan dan tulisan seperti bahasa Malaysia atau English dengan baik, maka mereka menghadapi kesukaran untuk memahami mesej teks yang tinggi bahasanya.

“Jadi bahasa isyarat adalah bahasa pertama kepada mereka kemudian baru bahasa kedua seperti BM, English dan lain-lain. Mereka amat bergantung pada visual iaitu bahasa isyarat untuk memahami dengan cepat lagi jelas,” katanya.

Infografik & Gambar Banyak Bantu

Selain itu, mesej infografik berkenaan statistik kes jangkitan serta gambar-gambar berkaitan wabak Covid-19 juga banyak memudahkan golongan pekak memahami maklumat yang disampaikan.

Mengenai khidmat jurubahasa isyarat di Radio Televisyen Malaysia dalam menyampaikan perkembangan sidang media harian COVID-19, beliau berkata langkah itu amat membantu orang pekak mengikuti maklumat terkini secara live.

“Ya, ia amat membantu, satu akses yang sama rata. Tanpanya, orang pekak terpaksa tercari-cari dan mendapatkan salinan teks ucapan daripada internet selepas sidang media tersebut.

Oleh itu adanya jurubahasa isyarat dalam siaran langsung adalah keperluan asas yang paling dikehendaki dan paling membantu orang pekak,” katanya.

Untuk maklumat lanjut dan info serta perkembangan terkini, korang boleh saksikan di TV3 dan Youtube Buletin Utama okay?

Kredit: Berita Harian

Syafiqa Irdina