Categories: Drama

Tonton Apa Hari Ni: ‘Bukan Hanya Sekadar Cinta’

Komunikasi merupakan elemen yang amat penting dalam perhubungan. Namun, ia tidak semestinya tertakluk kepada pertuturan kata sahaja. Terdapat pelbagi bentuk komunikasi lain yang juga memainkan peranan penting.

Drama slot Akasia terbaharu yang berjudul ‘Bukan Hanya Sekadar Cinta’ menerokai aspek komunikasi dalam percintaan. Ismail Izzani dan Sofia Dendroff membawa watak utama dalam siri ini.

Jalan cerita siri ini berkisar watak Kamelia yang telah membawa diri ke Terengganu apabila menerima kata putus daripada Ilan Rafzal, tunang Kamelia.

Di negeri Darul Iman itu, Kamelia telah bertemu dengan Isa Rafael, seorang jejaka yang disangkakan bisu dan pekak. Personaliti Isa Rafael diselubungi penuh misteri. Namun, dia masih mampu berinteraksi dengan Kamelia dengan perantara.

Komunikasi mereka berdua adalah menerusi buku nota. Bagi setiap luahan Kamelia, Isa Rafael ‘mendengar’ dengan penuh setia.

Namun, sesuatu insiden telah berlaku yang memaksa Kamelia begegas pulang ke Kuala Lumpur. Dia telah meninggalkan Isa Rafael tanpa sebarang nota.

Sebenarnya, sebuah perkahwinan rahsia telah menanti Kamelia di ibu kota bersama seorang lelaki asing yang bakal menggantikan tempat Ilan Rafzal. Adakah hubungannya dengan Isa Rafael terhenti begitu sahaja?

Cerita Apa? ‘Bukan Hanya Sekadar Cinta’
Hari Apa? Setiap Isnin hingga Jumaat
Jam Berapa? 7 malam
Di Mana? TV3

Afiqah Azizan