Categories: Drama

Tonton Apa Hari Ni: ‘Surat Dari Tuhan’

Hubungan bersama mentua amatlah penting. Malah, mentua juga hendaklah dihormati dengan sepenuhnya. Mendapat mentua yang baik juga adalah rezeki.

Namun, realitinya adalah ramai yang terpaksa berdepan dengan konflik yang melibatkan mentua. Ramai juga yang beranggapan mentua itu sendiri yang menjadi punca masalah. Namun, siri terbaharu slot Samarinda yang berjudul ‘Surat Dari Tuhan’ mengetengahkan perspektif yang berbeza. Ia juga memaparkan sikap manusia yang bermuka-muka.

Kisah ini memberi tumpuan kepada watak Ryan yang telah bertindak di luar persetujuan ibunya, Rafilah. Ryan telah mengambil keputusan untuk memberi peluang kepada Misha dan berkahwin dengannya. Hal ini telah mendapat tentangan Rafilah memandangkan Misha pernah memutuskan pertunangan mereka hanya beberapa minggu sebelum majlis perkahwinan sepatutnya berlangsung.

Firasat Rafilah sebagai seorang ibu ternyata betul. Setelah berkahwin dengan Ryan, Misha memperlihat dirinya yang sebenar. Cara layanan Misha terhadap ibu mentuanya amat tidak wajar. Namun, Misha tiada perasaan belas ihsan terhadap Rafilah. 

Situasi menjadi lebih teruk apabila Ryan membawa Rafilah untuk menunaikan umrah bersama. Sepanjang berada di Madinah, Misha langsung tidak endah untuk memberi pertolongan kepada Rafilah untuk memudahkan urusan orang tua itu.

Hal ini tidak terhenti di situ. Sekembalinya mereka dari kota suci itu, pelbagai masalah melanda. Selain cabaran kehidupan peribadinya, masalah perniagaan juga perlu ditangani oleh Ryan. Apakah kesudahan kisah ini?

Cerita Apa? ‘Surat Dari Tuhan’
Hari Apa? Setiap Isnin – Khamis
Jam Berapa? 10 malam
Di Mana? TV3 dan strim eksklusif HD di Tonton

Afiqah Azizan