Categories: familuv

5 Teknik Untuk Si Kecil Dapat Mahir Berbahasa Inggeris

Menguasai bahasa Inggeris sememangnya ada banyak kelebihannya pada anak jika mereka mampu bertutur dengan lancar dalam bahasa ini pada usia kecil lagi. Namun, untuk mengajar anak kecil bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilakukan. Berikut adalah lima cara atau teknik berkesan untuk mempercepatkan kemahiran anak anda berbahasa Inggeris tanpa perlu merasa stres.

1. Komunikasi

Komunikasi adalah sangat penting untuk memastikan anak anda memahami apa yang cuba anda sampaikan kepada mereka. Anda boleh cuba berkomunikasi dengan anak anda dalam bahasa Inggeris. Lakukannya secara bertahap. Mulakan dengan perkataan yang mudah terlebih dahulu. Anda boleh memperkenalkan barang atau makanan dalam bahasa Inggeris.

2. Gerak tubuh

Anak akan lebih mudah memahami kata kerja bahasa Inggeris jika anda menggunakan gerak tubuh. Sebagai contoh, jika anda meminta anak untuk tidur, anda perlu berkata, “Let’s sleep.” Mungkin anda boleh menambahkan gerah tubuh, misalnya menangkupkan kedua belah tangan, lalu meletakkannya di pipi sambil melentukkan kepala dan menutup mata. Anda boleh mengajak anak mengikut contoh perlakuan anda sehingga mereka dapat memahami dengan jelas maksud percakapan anda.

3. Program berbahasa Inggeris

Setiap kali anda memasangkan rancangan atau filem kegemaran anak, elakkan dari mengalih bahasa kepada bahasa yang lain atau menggunakan sarikata bahasa Melayu. Biarkan ia dalam bahasa Inggeris. Ini kerana anak anda akan terbiasa mendengarkan kalimat yang dilontarkan dalam program atau filem tersebut dan mereka juga akan mudah mempelajari kosa kata yang baru.

Foto: EduCenter

4. Bermain permainan Bahasa Inggeris

Sekarang ini ada banyak permainan yang boleh anda main bersama anak. Anda boleh membeli permainan pembelajaran dengan bahasa Inggeris, seperti kad imbasan yang menunjukkan abjad, nombor, haiwan, makanan dan sebagainya. Jika anda tidak boleh menemukan permainan sedemikian, anda boleh buat sendiri dengan bantuan Internet. Lagi jimat.

5. Satu kata dalam satu waktu

Jangan terlalu gopoh untuk mengajar anak bahasa Inggeris. Ajarilah satu perkataan dalam satu waktu sehingga anak anda benar faham dan boleh mengucapkan perkataan tersebut dengan baik. Anda boleh cuba menunjukkan satu gambar, misalnya gambar buah dan ucapkannya dalam bahasa Inggeris. Minta anak anda untuk mengulanginya. Cuba tunjukkan gambar yang sama pada keesokan harinya dan lihat sama ada anak anda boleh mengingati bagaimana perkataan tersebut dalam bahasa Inggeris.

Foto: Pinterest

Sumber: Jelita

Yanie Baharom