Categories: FeaturedGaya Hidup

Ingatkan kuih, nyaris nak gigit…

Kuih muih Melayu seperti bingka, talam, seri ayu dan kuih lapis sentiasa menjadi perhatian dalam apa sahaja majlis kerana selain sedap, ia juga cantik.

Ramai yang menggemari kuih-muih itu termasuklah penulis sendiri yang cukup suka makan kuih kacau dan talam keladi.

Tidak hairanlah apabila ada pihak yang menjadikan kuih tradisi itu sebagai ilham untuk dijadikan cenderahati menggunakan ukiran sabun.

Norhafidz dan Shazmin menunjukkan sabun yang dihasilkan menyerupai kuih-muih tradisional. Foto: Arkib Hijab & Heels.

Bagi pengasas Buih & Co, Norhafidz Nordin dan Shazmin Saprudin, kuih-muih Melayu adalah antara produk mereka yang laris memandangkan bentuknya yang cantik dan berwarna-warni.

Memulakan perniagaan cenderahati sejak 2017, Norhafidz berkata, kebosanan yang dialami ketika menemani isteri menyelesaikan pengajian di United Kingdom pada 2016 membuatkan dia mencari sesuatu untuk mengisi masa.

“Saya tertarik pada produk cenderahati dan mula membuat carian mengenai cenderahati ini. Apabila isteri ke universiti, saya berada di rumah membuat percubaan demi percubaan.

“Banyak kali juga membuat percubaan dan ujikaji sendiri. Saya belajar daripada dalam talian seperti Google dan YouTube,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sabun cenderahati menyerupai kuih-muih dan batu permata dihasilkan Buih & Co. Foto: Arkib Hijab & Heels.

 

Lebih unik, Norhafidz dan Shazmin tidak pernah terfikir untuk terjun ke bidang perniagaan cenderahati kerana Shazmin sendiri belajar mengenai industri filem ketika di luar negara.

“Apabila balik ke Malaysia, kami sepakat meneruskan apa  yang saya lakukan ketika menemani isteri di sana.

“Kini kami sama-sama mengembangkan minat menjadi sesuatu yang dapat menjana kewangan. Kami memilih untuk menggunakan bahan semula jadi seperti minyak kelapa dan minyak zaitun,” katanya sambil disokong Shazmin.

Shazmin menunjukkan sabun yang dihasilkan seperti kuih lapis dan kuih kacau. Foto: Arkib Hijab & Heels.

Selain bentuk kuih, Norhafidz dan Shazmin juga mengukir sendiri sabun berkenaan menjadi bentuk batu permata.

Apa yang mengujakan, sabun berbentuk batu permata itu hampir menyamai batu  permata sebenar, kalau dikalungkan di leher pun orang tidak perasan.

Begitu juga dengan kuih, jika tidak diberitahu pasti ada yang menyuap ke mulut untuk dimakan. Ia bukan sahaja cantik, malah berbau wangi juga.

 

Shaidah Shafie