Categories: FeaturedGaya Hidup

Keliru waktu berbuka puasa dan imsak ketika dalam penerbangan? Ini panduannya

Ketika Ramadan, antara perkara yang menjadi persoalan bagi mereka yang terikat dengan kerja yang memerlukan mereka lebih kerap melakukan perjalanan ke luar negara adalah waktu imsak dan berbuka. 

Lazimnya, anda boleh menentukan jadual waktu berbuka dan imsak berdasarkan waktu subuh dan maghrib di lokasi yang hendak dituju. Bayangkan waktu penerbangan ke destinasi yang ditujui berkemungkinan besar ketika waktu bersahur atau waktu berbuka puasa?

Bagaimana mengenal pasti cara yang betul untuk menentukan waktu imsak dan waktu berbuka. Perkongsian Hijab & Heels ini, barang kali dapat membantu anda untuk berbuka puasa dan bersahur pada waktu yang tepat di awan biru!

Foto: Cleartrip

Waktu Imsak

Kaedah menentukan waktu Imsak yang tepat dalam penerbangan adalah dengan merujuk terus kepada tanda cahaya fajar di ufuk Timur. Rujukan menerusi alat kiraan hanyalah tepat sebagai jangkaan dan perancangan awal. Waktu Imsak, iaitu waktu berhenti daripada makan dan minum serta permulaan bagi ibadat puasa adalah apabila timbulnya cahaya pagi di ufuk timur yang jelas lagi nyata kelihatan. Ini adalah waktu yang sama bagi permulaan solat Subuh.

Waktu Berbuka Puasa

Foto: Pinterest

Dalam menentukan waktu berbuka puasa, ramai orang menganggap bahawa waktu berbuka puasa bagi mereka pada hari tersebut adalah berpandukan waktu ketika di ruang udara tempat di mana pesawat berada. Contohnya, jika pesawat tersebut berada di ruang udara Indonesia, maka waktu berbuka puasa perlu mengikuti waktu berbuka puasa di Indonesia.

Lihat Matahari Terbenam

Berdasarkan kenyataan Ketua Persatuan Ulamak Sedunia, waktu berbuka puasa bagi mereka yang sedang bermusafir dengan menaiki kapal terbang adalah selepas terbenamnya matahari atau hilangnya matahari dari penglihatan mereka dan bukannya mengikut waktu di mana kapal terbang berada.

Setiap orang yang bermusafir dengan menaiki kapal terbang tidak boleh berbuka puasa mengikut waktu dari kawasan kapal terbang itu berlepas atau mengikut waktu di mana kapal terbang itu mendarat dan juga tidak mengikut waktu di mana kedudukan kapal terbang itu berada sekarang.

Jika krew kabin mengumumkan telah masuk waktu berbuka puasa, seeloknya perhatikan di tingkap di mana kedudukan matahari. Jika matahari sudah tidak kelihatan, maka anda boleh berbuka puasa. Namun, jika masih ternampak matahari, maksudnya belum masuk waktu berbuka.

Foto: pinterest.com

Selain itu, perkongsian juruterbang Kapten Hafiz Firdaus Abdullah ini dalam menentukan waktu solat mungkin boleh diguna pakai untuk menentukan waktu imsak dan berbuka ketika dalam penerbangan.

Menurutnya, beberapa kaedah asas yang yang dapat membantu seseorang itu menentukan waktu solat adalah dengan menggunakan sebatang pen atau pencil lalu dipegang di tingkap kapal terbang untuk diukur atau dibandingkan bayangannya bagi menentukan waktu Zuhur atau Asar, manakala melihat di ufuk timur bagi tanda permulaan waktu Subuh atau ufuk barat bagi tanda permulaan waktu Maghrib dan Isyak.

Beliau berkata, misalnya bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tokyo yang mempunyai tujuan purata ke arah utara, berlepas pada malam hari dan tiba pada  pagi hari, maka adalah seharusnya seseorang itu meminta terlebih awal agar diberikan kerusi duduk di sebelah kanan pesawat supaya dia dapat melihat ke arah timur bagi menentukan masuknya waktu Subuh.

Dalam tulisannya itu, beliau berkata, selain arah penerbangan dan hubungannya dengan arah gerakan matahari, penentuan qasar waktu solat boleh diusahakan terlebih awal sama ada dengan bentuk kiraan sendiri atau dengan menggunakan alat kiraan elektronik. Bilangan koordinat boleh didapati daripada peta atlas atau boleh sahaja ditanya kepada juruterbang pesawat.

Keputusan muktamad hendaklah tetap dengan merujuk pada bayangan atau cahaya di ufuk kerana mungkin sahaja waktu kiraan itu berubah sedikit sebanyak selari dengan posisi pesawat dan arah penerbangannya. Menarik perkongsian beliau ini!

Ingat ya, antara definisi puasa adalah menahan diri daripada makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Waktu berbuka puasa bagi mereka yang berada di dalam kapal terbang pada ketinggian yang tinggi pastinya akan sedikit lewat berbanding mereka di darat walaupun berada di negara atau kawasan yang sama.

Kelewatan ini boleh mencecah sehingga lewat 20 minit. Jika penumpang tidak yakin, berbukalah ketika sudah sampai ke destinasi.

 

Sumber: LIBUR 

Yanie Baharom