Categories: FeaturedGaya Hidup

Meghan punca Putera Harry tinggalkan kehidupan diraja?

Pengumuman Duke of Sussex, Putera Harry untuk bersara sebagai anggota kanan keluarga diraja England, bukan sahaja mengejutkan masyarakat, bahkan Ratu England, Ratu Elizabeth yang dikatakan tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai pengumuman itu.

Berita yang menimbulkan pelbagai tanda tanya itu menjadi muka depan kebanyakan media di United Kingdom sejak pengumuman itu disiarkan melalui Instagram milik pasangan diraja itu, Sussexroyal.  

Kebanyakan akhbar tabloid dan laman media sosial seolah-olah menuding jari kepada Meghan Markle yang dikatakan mempengaruhi keputusan dibuat pasangan berkenaan, lebih-lebih lagi pasangan itu turut mengumumkan bakal meluangkan masa antara London dengan Amerika Utara. 

CNN melaporkan kebanyakan akhbar di UK menyiarkan berita pengunduran Putera Harry ddi muka depan. Gambar hiasan/CNN.

Majalah Hello melaporkan pengumuman itu membuktikan berlaku perbalahan dalam keluarga diraja itu yang sudah dilaporkan media sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Hubungan baginda dengan abangnya, Putera William turut dikatakan renggang berikutan sikap Meghan yang didakwa ada kalanya keterlaluan sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan ahli keluargan diraja itu.

Bermula dengan tindakan Putera Harry dan isterinya keluar daripada Royal Foudation yang ditubuhkan dengan abangnya, Putera William dan isteri, Kate Middleton diikuti penubuhan yayasan baharu yang dinaungi Putera Harry dan Meghan.

Putera Harry dan Meghan turut keluar daripada kediamannya, Istana Kensington yang diduduki bersama Putera William, kerana dikatakan berlaku perselisihan faham dengan Kate.

Spekulasi yang menyatakan keluarga diraja agak kurang senang dengan kerenah Meghan sejak majlis perkahwinan pasangan itu apabila Meghan dikatakan membuat permintaan yang melampau sehinggakan mereka semakin jauh daripada keluarga diraja.

Ini diakui sendiri wartawan ITV, Tom Bradby, yang juga rakan pasangan berkenaan. Beliau yang pernah merakam dokumentari mereka ketika berkunjung ke Afrika Selatan mendedahkan pasangan berkenaan berasa dipinggirkan keluarga diraja.

Katanya, tumpuan yang keterlaluan terhadap Ratu Elizabeth dan pewaris terdekatnya, Putera Charles (ayah Putera Harry) dan Putera William menyebabkan pasangan itu rasa mereka seolah-olah tidak lagi dilibatkan dalam program diraja.

Tom turut mengakui Putera Harry berkecil hati dengan pelbagai tindakan dan kata-kata ahli keluarganya yang dikatakan agak kurang senang dengan Meghan sejak majlis perkahwinannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pilih Hidup Bersama Rakyat, Meghan dan Harry Ucap Selamat Tinggal Pada Istana

Tom dan Putera Harry ketika rakaman dokumentari di Afrika Selatan. Gambar hiasan/Sumber Hello Magazine

Begitu pun, dalam dokumentari itu yang disiarkan Oktober lalu, Putera Harry menafikan spekulasi berkenaan, malah menegaskan hubungannya dengan Putera William tidak bermasalah.

Beliau turut menyatakan kesetiaannya kepada Ratu England dan keluarga diraja, khususnya abangnya, Putera William.

“Kebanyakan perkara yang diperkatakan direka pihak tertentu, tetapi saya akui ada kalanya kami melalui hari yang naik, dan ada kalanya tidak.

“Ketika ini, saya dan abang saya berada di laluan berbeza, tetapi saya akan sentiasa di sampingnya dan saya tahu dia juga akan sentiasa bersedia untuk berada di samping saya apabila saya memerlukan teman.

“Kini, kami tidak bertemu begitu kerap seperti sebelum ini kerana masing-masing sibuk dengan tugas yang perlu dilaksanakan, tetapi saya menyayanginya sepenuh hati,” katanya.

Ketiadaan gambar Putera Harry dan keluarganya dalam gambar yang disiarkan pada 24 Disember 2019 sempena ucapan Krismas Ratu Elizabeth. Gambar hiasan/Sumber Time.

Selain itu, ketiadaan gambar Putera Harry dan keluarganya di atas meja dalam video ucapan Ratu Elizabeth untuk Krismas yang disiarkan pada 24 Disember 2019, menguatkan lagi spekulasi bahawa baginda Ratu turut kurang selesa dengan pasangan itu.

Bagaimanapun, kelmarin Ratu Elizabeth mengeluarkan kenyataan bahawa baginda menerima keputusan Putera Harry dan isterinya untuk bersara daripada tugas sebagai anggota kanan diraja, namun turut menyatakan lebih banyak perbincangan akan dilakukan bersama-sama pasangan itu.

Persoalan pasti timbul mengenai keputusan pasangan berkenaan untuk hidup di luar istana, antaranya siapa yang mengeluarkan peruntukan untuk kawalan keselamatan Putera Harry, selain gelaran diraja yang dikatakan mungkin tidak digunakan bagi membolehkan pasangan itu hidup seperti rakyat biasa.

Begitu pun, beberapa media melihat tindakan pasangan itu untuk berdikari dari segi kewangan lebih untuk meraih keuntungan. Sejak pengumuman itu dibuat, beberapa syarikat dikatakan sudah menghubungi Meghan untuk mengadakan perbincangan.

Antaranya, perancangan untuk program televisyen, penubuhan yayasan yang dinaungi pasangan berkenaan, malah Meghan sudah pun mula menghasilkan jenama pakaiannya sendiri.

Fadzlena Jafar