Categories: FeaturedGaya Hidup

MKN kaji SOP beri kelonggaran penduduk zon hijau keluar rumah

Kerajaan kini dalam perbincangan untuk menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi memberi kelonggaran kepada penduduk di zon hijau keluar dari rumah masing-masing.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang merangka SOP bersesuaian sebelum membentangkan perkara berkenaan pada minggu hadapan.

Kredit gambar: Selangor Journal

“Banyak zon yang sudah diisytiharkan sebagai zon hijau. Kita masih lagi berbincang dan dalam peringkat akhir untuk menyediakan SOP yang lebih lengkap mengenai apa yang boleh dilakukan di zon hijau berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Menteri Kanan Mengenai Pelaksanaan PKP, di Putrajaya, hari ini.

Data mukim penduduk tempatan mengenai kes aktif Covid-19 menunjukkan sejak seminggu yang lalu, kebanyakan negeri di Malaysia sudah berubah menjadi zon hijau.

Daripada hampir 1,200 mukim yang dipantau Kementerian Kesihatan (KKM), hanya lima mukim yang mempunyai lebih 40 kes aktif.

Kredit gambar: Parenting Dream

Ismail Sabri berkata, penduduk kawasan perumahan yang berpagar dan bertutup sebagai contohnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang tidak keluar selama sebulan dan tidak ada gejala berkemungkinan akan diberi kebenaran untuk keluar atau turun ke tingkat bawah.

“Mereka mungkin dibenarkan keluar, boleh bawa anak turun dan sebagainya, tetapi tidak boleh keluar dari luar pagar kawasan perumahan mereka.

“SOP akan dikeluarkan, mungkin kita akan tentukan blok atau masa untuk membenarkan mereka keluar. Semuanya sedang dirangka oleh MKN dan kita akan dapatkan data daripada semua kementerian agar SOP yang dikeluarkan lebih menyeluruh.

“Insya-Allah, saya percaya minggu hadapan kita akan muktamadkan SOP yang sedang dikaji MKN bersama KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Setakat ini semuanya masih dalam perangkaan dan saya akan umumkan nanti,” katanya.

Ad Ops