Categories: FeaturedOh Lawa

Penggunaan serum bantu kembalikan keremajaan kulit

Setiap wanita pastinya mengimpikan kulit wajah cerah, bebas cela, tiada kedutan dan bersih walaupun usia semakin meningkat.

Kebanyakan pakar kecantikan mencadangkan empat langkah mudah dalam usaha memastikan kulit terpelihara dan tidak begitu terjejas oleh kotoran dalam udara.

Langkah berkenaan merangkumi prosedur mudah membersihkan wajah, menyapu penyegar, mengenakan serum dan akhir sekali disudahi dengan pelembap.

Daniel bersama Serum Pencerah Clarins yang bermanfaat untuk mencerahkan kulit wajah. Foto: Arkib Hijab & Heels.

Pengurus Pemasaran Kanan Kumpulan Clarins, Daniel Lim, berkata penggunaan serum penting untuk kulit wajah bagi memastikan ia lambat dimamah penuaan.

“Serum juga adalah antara regim penting dalam penjagaan kulit, lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca seperti di negara kita, kulit perlu dijaga lebih teliti agar sentiasa lembap.

“Penggunaan serum tidak kurang penting seperti krim lain, tapi wanita perlu tahu bagaimana mengenakannya pada wajah,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk baharu Clarins di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Serum memberi banyak faedah untuk kulit jika digunakan secara konsisten – gambar hiasan. Sumber: Loreal.com

Serum adalah bahan yang dihasilkan daripada molekul yang sangat halus dan mudah menyerap pada kulit serta bersifat ringan pada tekstur kulit.

Oleh sebab itu penggunaannya tidak perlu banyak mahupun berlebih, cukup sekadar setitis atau dua titis di hujung jari dan kemudian dicalit pada bahagian tertentu kulit wajah.

Daniel berkata, cara menggunakan serum memerlukan teknik betul memandangkan hanya sedikit diperlukan bagi setiap prosedur.

“Pengguna disaran cukup sekadar melakukan langkah seperti pedap dengan lembut pada bahagian tertentu seperti pipi, dahi dan dagu, namun tidak perlu diratakan dengan jari kerana serum adalah bahan yang sangat mudah dikendalikan,” katanya.

Hijab & Heels kongsikan 5 manfaat serum:

1. Serum mengandungi bahan aktif atau ekstrak yang bertindak terus terhadap kulit, sebab itulah ia bertestur ringan dan mudah menyerap pada kulit.

2. Serum mengandungi bahan antipenuaan seperti peptida, antioksidan dan asid kojik yang membantu dalam proses keremajaan kulit.

3. Serum ialah produk yang dikatakan paling berharga dalam aspek penjagaan kulit wajah, cukup hanya setitis dua sahaja, ia boleh dioles pada keseluruhan wajah dan berfungsi dengan cara tersendiri untuk mengekalkan kesempurnaan kulit.

4. Serum memiliki molekul kecil menyebabkan ia boleh meresap jauh ke dalam lapisan kulit wajah dan bekerja dengan pantas terhadap kulit.

5. Pastikan serum yang digunakan sesuai dengan kulit wajah kerana jika tersilap penggunaan, ia boleh menyebabkab kerengsaan.

Shaidah Shafie