Categories: FeaturedGaya Hidup

Selalu cuci lantai tapi terlepas pandang cuci dinding rumah? Ketahui bahayanya

Ramai ibu bapa yang mungkin risau atau tidak menggalakkan anak mereka bermain di luar rumah kerana memikirkan risiko keselamatan dan juga faktor kebersihan yang mungkin dihadapi oleh anak mereka, namun adakah ibu bapa pasti tahap kebersihan mahupun keselamatan anak akan lebih terjamin jika mereka bermain di dalam rumah?

Gambar hiasan/ Sumber: Pinterest

Menyentuh soal kebersihan di dalam rumah, mungkin ibu bapa sudah mengambil inisiatif untuk kerap menyapu dan mencuci lantai bagi mengelakkan anak terkena jangkitan bakteria dan sebagainya. Bagaimanapun, pernahkah ibu bapa mencuci dinding di rumah?

Tidak keterlaluan untuk dikatakan rata-ratanya mungkin tidak tahu atau tidak peduli mengenai tahap kebersihan dinding rumah. Mungkin ada yang terlepas pandang berkenaan kepentingan menjaga kebersihan dinding, namun tahukah ibu bapa sekalian, dinding juga tidak terkecuali daripada terkena penularan bakteria.

Malah, dinding menjadi permukaan terbesar di dalam rumah yang tidak bersih dan mengumpul banyak bakteria yang boleh menyebabkan penyakit.

Gambar hiasan/ Sumber: Ali Express

Menerusi laman sesawang Pop Mama, Dr Ulul Albab berkongsi maklumat mengenai ada pelbagai jenis bakteria terdapat di permukaan dinding antaranya E Coli dan Methicillin-resistant Staphylococcus aureus (MRSA).

Bakteria ini mampu menyebabkan seseorang itu terkena jangkitan seperti iritasi kulit, demam, cirit-birit serta infeksi di saluran pernafasan. Justeru, ibu bapa perlu menitikberatkan soal kebersihan dinding agar anak tidak mudah jatuh sakit.

Berikut merupakan antara panduan yang boleh diikuti untuk menjaga kebersihan dinding rumah:

Gambar hiasan/ Sumber: Unsplash

1. Mencuci dinding sekurang-kurangnya dua kali seminggu

2. Menggunakan kain mikro fiber untuk mencuci debu kotoran

3. Membersihkan dinding rumah menggunakan air suam dan campuran sabun. Jika ingin lebih bersih, boleh ditambahkan cuka ke dalam air suam. Campuran ini bukan sahaja mampu menanggalkan kesan kotoran pada dinding, malah kandungan yang terdapat dalam cuka mampu menghapuskan bakteria yang ada.

4. Elakkan menggunakan produk pembersih yang mengandungi alkohol. Ia boleh menyebabkan lapisan cat dinding rosak dan meninggalkan noda cerah.

5. Gunakan jenis cat yang berkualiti yang mengandungi fungsi anti-bakteria agar dinding lebih bersih dan terjamin

Semoga panduan yang dikongsi memberi manfaat kepada ibu bapa di luar sana mengenai kepentingan menjaga kebersihan dinding rumah.

Sumber: Hello Doktor

Ad Ops