Categories: Eat TravelFeatured

Walaupun berstatus paya, cantiknya luar biasa

Paya bukan tempat pilihan untuk dikunjungi kerana ia biasanya dipenuhi pokok bakau yang tidak menarik untuk dilihat, berwarna pudar, suram dan seolah-olah tidak bermaya.

Lebih memburukkan keadaan apabila ada yang membuat kesimpulan paya dipenuhi air keruh, berkeladak, berbau busuk dan hanya menjadi habitat si kodok atau amfibia seperti belacak, cacing dan ular.

Jangan mudah membuat tanggapan atau terikut-ikut dengan pandangan umum mengenai paya yang sering dianggap tidak menarik kerana paya juga mempunyai nilai komersial yang amat menakjubkan, lebih-lebih lagi bagi pencinta alam.

Hijab & Heels kongsikan tiga paya indah untuk dikunjungi dan sesuai dijadikan gambar untuk Instagram. Jangan berkata tidak dahulu sebelum anda melihatnya sendiri kerana banyak perkara menarik mengenai alam dan hidupan boleh dipelajari di sini.

Taman alam Kuala Selangor menyediakan pemandangan yang sangat indah bagi pencinta alam semula jadi. Foto kredit: mdks.gov.my

1. Taman Alam Kuala Selangor, Kuala Selangor
Taman Alam Kuala Selangor ialah lokasi tumpuan pencinta alam yang amat berbaloi untuk dikunjungi walaupun sebahagian daripada taman itu adalah kawasan paya bakau, manakala selebihnya kawasan hutan hujan Tropika yang menjadi habitat unggas dan pelbagai spesies burung dari seluruh dunia.

Jika berkunjung ke sana, jangan lupa membawa teropong untuk melihat burung kerana ada 156 jenis burung di situ dan 57 daripadanya adalah spesies yang terbang dari Russia dan Siberia ketika tiba musim migrasi.

2. Kuala Sepetang, Taiping

Taman rekreasi paya bakau Kuala Sepetang. Foto kredit: Holidaygogogo.com

Kuala Sepetang wujud daripada kawasan hutan paya Matang dengan latar pohon berembang yang juga menjadi habitat kunang-kunang. Jika bernasib baik mengunjunginya pada waktu malam, anda mungkin berpeluang melihat beratus-ratus kunang-kunang memenuhi pohon berembang.

Ada yang mengatakan ratusan kunang-kunang itu hanya kelihatan pada musim mengawan serangga berkenaan.

3. Paya Bakau Teluk Wawasan, Batu Pahat
Hutan paya bakau Teluk Wawasan yang terletak di Batu Pahat, Johor dan berkeluasan 10 ekar, dipenuhi hutan paya bakau tertua di Asia selain menjadi habitat kepada pelbagai ekologi kelautan (maritim).

Paya bakau Teluk Wawasan di Batu Pahat, Johor menjadi habitat unggas dan amfibia. Foto kredit: Malaysiaaktif.com

Bagi penggemar unggas dan serangga, paya bakau Teluk Wawasan adalah lubuk untuk melihat kelangsungan hidup spesies yang mendiami habitat di sekitar paya bakau berkenaan.

Tentunya selepas melihat keindahan paya bakau yang diibaratkan seperti lokasi terlindung, tetapi memukau pandangan itu, anda tidak akan terfikir lagi untuk melawat lokasi luar negara kerana di dalam negara sendiri ada banyak lagi paya bakau menarik untuk dikunjungi.

Shaidah Shafie