Cipta Kelainan, Mierul Aiman Kini Berlakon Komedi – “Peluang Untuk Saya Eksplorasi Perkara Baru Dalam Karier”

Menjadi kegilaan ramai anak gadis sejak kemunculannya dalam drama bersiri popular Projek: High Council, nama Mierul Aiman kini sudah tidak asing lagi dalam industri lakonan tanah air.

Malah, lakonannya yang mantap dan bakat yang ada pada diri anak muda berusia 25 tahun ini membuka ruang dan peluang untuknya menerima beberapa tawaran lakonan.

Memetik laporan mStar, Mierul atau nama penuhnya, Muhammad Amirul Aiman Norazman berkata, drama terbaharu lakonannya bersama Mira Filzah, Hun Haqeem dan Qasrina Karim, Yassin dan Yasmin Hani itu bagaimanpun amat berbeza dengan watak Fahri dalam drama bersiri popular tersebut.

“Saya bakal muncul dengan watak komedi lakonan bersama Mira Filzah, Hun Haqeem dan Qasrina Karim.

“Bila diberi peluang bawa watak komedi ni, saya anggap ini adalah peluang saya untuk mengeksplorasi perkara baru dalam karier lakonan sekaligus lari dari watak Fakhri,” katanya.

Menyifatkan dirinya amat bertuah kerana dapat menimba ilmu dari pelakon senior, Mierul menyifatkan ini adalah peluang untuknya menggali karakter sebagai seorang pelakon yang versatile.

“Saya kena berada pada tahap tertinggi sebagai seorang pelakon, malah banyak belajar meneroka watak di set dan belajar dengan pengarah serta pelakon lain.

“Abang Yassin yang banyak ajar saya untuk bawakan watak komedi. Banyak pengalaman saya dapat untuk menghidupkan watak ini,” jelasnya.

Terdahulu, jumlah pengikut Instagram (IG)Mierul menyaksikan peningkatan yang mendadak  sehingga mencecah lebih ratusan ribu sejak drama lakonannya ditayangkan.

ARTIKEL BERKAITAN:Followers Kini Cecah Ratusan Ribu, Mierul Aiman Hargai Sokongan Peminat – “Buat Masa Sekarang Saya Tak Pernah Kena Kacau…”

ARTIKEL BERKAITAN:“Sanggup Selam Dalam Tasik Demi Dekati Awak”- Ubah Gaya Rambut, Penampilan Amir Ahnaf Bikin Peminat Cair

 

Sumber: Instagram, mStar

Salma Syahbuddin